Rakyat Malaysia tawar bantuan kepada mangsa banjir di media sosial

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

KUALA LUMPUR, 19 Dis – Musibah banjir yang melanda beberapa negeri terutama Selangor yang disifatkan luar jangka, bukan sahaja memberi kesan mendalam kepada mangsa tetapi juga seluruh rakyat Malaysia yang prihatin.

Media sosial sejak semalam dipenuhi dengan pelbagai hantaran mangsa yang inginkan bantuan serta rakyat Malaysia yang cuba menghulurkan pertolongan sedaya upaya mereka dengan meletakkan tanda pagar #DaruratBanjir.

Seorang pengguna Twitter menggunakan nama @_siggplus yang merupakan seorang peniaga kopi di Seksyen 13, Shah Alam, Selangor menawarkan kopi percuma dan tempat berteduh kepada mereka yang terkandas di kawasan itu semalam.

“Sesiapa terkandas dekat Aeon Seksyen 13, tidak ada tempat nak pergi sebab jalan tutup, sila datang kedai aku minum kopi Vietnam sementara tunggu air surut,” katanya yang menawarkan kopi percuma dengan harapan bantuan kecil itu dapat memberi sedikit kegembiraan kepada mereka yang terjejas.

Selain itu, pemilik akaun @dh_akimi juga menawarkan pertolongan kepada mangsa untuk berpindah keluar dari kawasan terjejas.

“Kalau anda terperangkap dan memerlukan kenderaan empat roda untuk berpindah, sila hubungi saya.

“Keutamaan diberikan kepada mereka yang ada bayi, kanak-kanak dan orang tua,” katanya dalam akaun Twitternya.

Tinjauan Bernama semalam mendapati penduduk di Taman Mutiara Subang, Subang Jaya mengambil inisiatif membantu melancarkan aliran lalu lintas di kawasan perumahan mereka yang turut terkesan banjir.

Luqman Hakim, 24, secara sukarela ‘bertugas’ untuk memberi amaran kepada pengguna lalu lintas ingin ke Shah Alam yang melalui perumahan tersebut untuk berpatah balik ekoran laluan gelap itu telah ditenggelami air.

Katanya, hujan yang tidak berhenti selama dua hari berturut-turut telah mengakibatkan air naik melepasi paras dada.

“Dulu pernah juga banjir, tetapi ini lagi teruk dan memang bahaya dan saya buat apa yang boleh untuk tolong,” katanya.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1207
Kongsi :
Previous post Kawasan terjejas ekoran banjir di Sepang terus meningkat
Next post Banjir: Krubong paling terjejas di Melaka Tengah
Ubah saiz-+=