Sorting by

×

‘Kayuh basikal dapat lagi satu basikal’

Masa Membaca:2 Minit, 17 Saat

REMBIA 20 Mac – Rezeki terpijak sebagai antara tiga pemenang utama memiliki sebuah basikal lipat selepas menyertai kayuhan sepanjang 30 kilometer (km) adalah sesuatu yang tidak disangka bagi peserta Program Kayuhan Basikan Gegau Melaka Gegau 2.0 diadakan di Japerun Rembia di sini pagi tadi.

Salah seorang pemenang, Mohammad Syahmi Mahat, 31, berkata dia tidak menyangka perkara itu berlaku selepas diumumkan menjadi antara pemenang dalam acara cabutan bertuah berlangsung pada akhir program itu.

Dia yang tiba dari Simpang Renggam, Johor pada malam tadi semata-mata untuk menyertai program itu bersama dua rakannya bagaimanapun bersyukur misi kayuhan santainya kali ini membuahkan hasil.

TIGA peserta dari Simpang Renggam, Johor tiba pada malam tadi demi menyertai acara kayuhan 30 kilometer itu.

“Alhamdulillah, memang tak sangka, orang kata kali ini memang ‘pusing modallah’ sebab saya menyertai program ini sebanyak RM30 dan berkayuh sepanjang 30 kilometer akhirnya dapat bawa balik rumah dengan sebuah basikal lagi.

“Bila dapat basikal lipat ini akan menjadi koleksi keempat saya dan bersyukur sangat bila nombor penyertaan saya dicabut sebentar tadi,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Terdahulu, dalam program yang berlangsung seawal jam 7.30 pagi tadi menerima penyertaan sebanyak 500 peserta dari pelbagai negeri telah dilepaskan EXCO Pelancongan, Datuk Muhammad Jailani Khamis.

Penyertaan kali kedua itu menerima lebih 1,000 permohonan bagaimanapun dihadkan bagi mematuhi prosedur operasi standard menawarkan 50 hadiah cabutan termasuk medal dan sijil penyertaan.

Bagi hadiah utama, tiga peserta bertuah akan membawa pulang sebuah basikal lipat berharga kira-kira RM600.

Sementara itu, seorang pesara tentera, Yusef Leo, 48 yang turut memenangi cabutan utama itu meluahkan rasa syukur dalam acara sukan yang diminatinya itu sejak tahun 2006.

Katanya, kemenangan itu juga mampu menghilangkan penatnya selepas berkayuh sendiri dari rumahnya di Bertam Impian menuju ke JAPERUN Rembia sejak awal pagi tadi bagi menghadiri program terbabit.

“Memang tak sangka bila menang basikal ini kerana pagi tadi saya kayuh sendiri dari rumah dan sekarang tak tahu macam mana nak bawa pulang basikal ini ke rumah.

“Mungkin saya akan telefon orang rumah untuk ambil basikal ini bawa pulang,” katanya.

ZAMEROL antara tiga peserta bertuah menunjukkan basikal lipat yang dimenanginya.

Pada masa sama, seorang peserta dari Paya Rumput, Zamerol Mohd Zani, 32 turut meluahkan rasa sama apabila tidak menyangka dia merupakan antara yang bertuah daripada 500 peserta dalam program itu kali ini.

“Alhamdulillah agak terkejut dan memang hilang penat saya apabila berkayuh menggunakan basikal lipat di sekitar Alor Gajah ini bersama rakan-rakan lain.

“Dapat tahu program ini pun apabila ia disiarkan di Facebook dan saya terus menyertainya, bila menang cabutan ini maka ini terus jadi koleksi kedua basikal lipat yang saya ada,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1656
Kongsi :
Previous post Bukit Melaka, Malay Lane and Jalan Yahudi: Certainly Not Altering the Past
Next post Mutu padang turut pengaruhi permainan bola sepak – Tunku Ismail
Ubah saiz-+=