Sorting by

×

KEBAKARAN TERBUKA DI MELAKA MELONJAK LIMA KALI GANDA

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

BUKIT KATIL 3 Februari – Kes kebakaran terbuka di Melaka mencatat lonjakan hampir lima kali ganda dengan 285 kes direkodkan sepanjang Januari 2026 berbanding hanya 57 kes pada tempoh sama tahun lalu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penolong Pesuruhjaya Bomba Mohd Zaidi Ma’at berkata, ia menimbulkan kebimbangan walaupun negeri ini masih berada dalam fasa Monsun Timur Laut (MTL) yang lazimnya menerima hujan yang tinggi.

“Sepatutnya dalam tempoh ini masih banyak hujan, namun peningkatan kes kebakaran terbuka seawal Januari ini menunjukkan trend yang membimbangkan.

“Sepanjang 2025 sahaja, JBPM Melaka telah merekodkan 778 panggilan kecemasan berkaitan kebakaran terbuka, termasuk kebakaran kebun, lalang, hutan dan sampah,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perbarisan Tahunan 2026 JBPM Melaka di Ibu Pejabat JBPM Melaka, di sini, hari ini.

Justeru, Mohd Zaidi turut menasihatkan orang awam agar lebih berhati-hati ketika menjalankan aktiviti melibatkan penggunaan api di kawasan terbuka, terutamanya aktiviti rekreasi seperti berkhemah dan memancing.

“Kita minta orang ramai sama-sama mengawasi punca api supaya tidak menyumbang kepada kebakaran terbuka yang boleh mencemarkan alam sekitar serta memberi risiko kepada nyawa dan harta benda.

“Kebakaran terbuka biasanya berpunca daripada faktor manusia dan jarang berlaku secara spontan.

“Antara puncanya termasuk aktiviti perkhemahan, puntung rokok yang dibuang sembarangan, pembakaran sampah yang tidak terkawal dan pembukaan ladang baharu menggunakan kaedah pembakaran,” katanya.

Menurut beliau, situasi angin kencang turut meningkatkan risiko kebakaran merebak ke kawasan lain, sekali gus menyebabkan situasi menjadi tidak terkawal.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

342
Kongsi :
Previous post 476 KELUARGA ASNAF TELOK MAS TERIMA SUMBANGAN RAMADAN, SYAWAL
Next post IFTAR MEGA ‘ALA DULU-DULU’, KACAU DODOL WARNAI PELANCONGAN MELAKA SEMPENA RAMADAN