Sorting by

×

‘KECIK’ DIMINTA SERAH DIRI

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

AYER KEROH 9 Mei – Penumpang Toyota Hilux juga suspek kes curi kabel dikenali sebagai ‘Kecik’ diminta supaya menyerah diri kepada polis dengan segera.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, hasil siasatan dijalankan pihaknya sudah mengenal pasti identiti sebenar lelaki itu yang melarikan diri selepas Toyota Hilux dipandu rakan sejenayahnya terlibat kemalangan ketika cuba meloloskan diri ketika dikejar polis.

Zulkhairi berkata, pihaknya kini sedang giat memburu lelaki berusia 25 tahun itu yang beralamat di Jalan Bidor, Teluk Intan, Perak bagi membantu siasatan berhubung aktiviti curi kabel.

“Minta serah diri cepat…Cepat atau lambat pasti akang tertangkap juga. Lelaki ini juga sudah dimasukkan dalam senarai ‘wanted’ (orang dikehendaki), hebahan termasuk gambar suspek juga dilakukan, kami yakin akan dapat menahannya dalam masa terdekat ini.

“Lelaki dikenali sebagai Kecik bersama rakannya dipercayai datang ke negeri ini untuk melakukan jenayah, semakan dilakukan pula mendapati Toyota Hilux berkenaan disewa dan menggunakan nombor pendaftaran palsu.

“Dia kini dipercayai sudah keluar dari Melaka dan pihak polis turut memohon kerjasama orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan suspek dikenali Kecik ini untuk menghubungi pegawai penyiasat,” katanya.

Beliau pada sidang media selepas Majlis Penutup Kursus Asas Light Strike Force (LSF) Siri 1/2025 Kontinjen Melaka di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang, di sini, hari ini.

Terdahulu dalam kejadian 6 Mei lalu, polis bertindak mengejar sebuah Toyota Hilux yang cuba meloloskan diri selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan di Taman Teknologi Cheng.

Dalam usaha meloloskan diri pemandu pacuan empat roda itu bertindak merempuh palang di Plaza Tol Ayer Keroh dan memecut ke arah Johor Bahru, Johor.

Malah pemandu berkenaan juga bertindak memandu Toyota Hilux terbabit secara melawan arus hingga melanggar empat kenderaan lain sebelum berjaya ditahan polis selepas terbabit kemalangan di kilometer 216.8 Lebuhraya Plus menghala utara, pada 5.30 pagi.

Pemandu berkenaan 29 tahun berjaya ditahan, sementara itu penumpangnya berjaya melarikan diri, pemeriksaan lanjut polis terhadap Toyota Hilux itu menemukan 44 barang kabel disyaki diperoleh menerusi hasil aktiviti jenayah.

Susulan kejadian polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 279 KK, Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

362
Kongsi :
Previous post PLAK TASKA BERDAFTAR TINGKAT KEYAKINAN IBU BAPA DI MELAKA
Next post 1,500 KANAK-KANAK BAKAL ‘NAIK HAJI’ BERSAMA ‘WAIBEE HELMY’