
BANTUAN RM8,000 PERKASA PDK SERI KEMUNTING, BERI MANFAAT KEPADA 40 PELATIH
TANJUNG BIDARA 18 September – Usaha memperkasa kebajikan golongan orang kurang upaya (OKU) di PDK Seri Kemunting terus mendapat perhatian Kerajaan Negeri menerusi pemberian sumbangan RM8,000 untuk meningkatkan kemudahan dan keperluan 40 pelatih di pusat berkenaan.
Sumbangan itu diserahkan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dalam siri Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat ke Tanjung Bidara di Taman Tanjung Palma, di sini, hari ini.
Penyelia PDK Seri Kemunting, Zuraida Jasmi berkata, pihaknya amat bersyukur menerima sumbangan berkenaan yang akan dimanfaatkan bagi menyediakan pelbagai peralatan untuk kegunaan pelatih berusia antara tiga hingga 36 tahun.
Katanya, PDK berkenaan mempunyai 40 pelatih, terdiri daripada 12 individu dengan sindrom Down, 20 autisme dan selebihnya mempunyai masalah pembelajaran.
“Pelatih kami memang aktif dalam pelbagai aktiviti, jadi sumbangan ini akan digunakan untuk membeli rumput tiruan dan peralatan sukan, selain peralatan fisioterapi serta alat bantu yang dapat memudahkan aktiviti harian dan latihan mereka.
“Kami amat bersyukur kerana bantuan ini dapat digunakan untuk menambah baik kemudahan PDK dan memberi keselesaan kepada pelatih,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan, di sini, semalam.
Terdahulu, Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara merasmikan Penempatan PDK berkenaan sambil disaksikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh dan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.
Menurut Zuraida, selain aktiviti pemulihan, PDK turut menyediakan latihan kemahiran dan peluang pekerjaan mengikut kemampuan pelatih termasuk menjahit bantal serta menghasilkan alat pemegang periuk dengan bayaran upah sebagai insentif.
Beliau berkata, pelatih PDK berkenaan datang dari beberapa kawasan termasuk Tanjung Bidara, Kuala Linggi, Lubok China dan Masjid Tanah.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

