KEPRIHATINAN TOK RAUF KEKUATAN MANGSA KEBAKARAN  BANGKIT SEMULA

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

TANJUNG BIDARA 19 September – Bantuan kediaman baharu daripada Kerajaan Negeri mengembalikan keceriaan buat keluarga ini apabila rumah pusaka menjadi tempat berteduh sebelum ini musnah dalam kebakaran pada 24 Mei lalu.

Mohd Fairuz Hamzah, 53, berkata bantuan menerusi Program Melaka Rumahku (PMR) oleh Lembaga Perumahan Melaka (LPM) juga membakar semangatnya dan isteri Samsiah Hassan, 48, untuk kembali bangkit dan memulakan kehidupan baharu.

Dia amat berterima kasih kepada Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang amat prihatin dan komited dalam memastikan dia bersama keluarga dapat berpindah masuk kediaman baharu itu secepat mungkin.

“Rumah sudah siap, lengkap dengan bilik dan bilik air, sekarang fokus kami adalah berusaha mencari rezeki dan teruskan kehidupan kerana kebakaran menyebabkan mesin jahit isteri serta peralatan bengkel saya musnah.

“Terima kasih kepada Ketua Menteri, Lembaga Perumahan Melaka (LPM), Japerun Tanjung Bidara dan semua pihak yang banyak membantu kami sepanjang diuji dengan musibah,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Dia berkata demikian ketika ditemui selepas menerima replika kunci kediaman baharunya sempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara yang disampaikan sendiri Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Kampung Balik Hutan, Lubok Redan, di sini semalam.

Hadir sama Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan, Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin, Pegawai Daerah Alor Gajah Datuk Sabrina Thalas serta Pengarah Eksekutif LPM Datuk TPr. Murad Husin.

Sementara itu Samsiah berkata, selain Kerajaan Negeri dia dan keluarga turut mengucapkan terima kasih kepada pihak-pihak berkenaan yang tampil menyumbangkan dalam pelbagai bentuk termasuk wang tunai, pakaian dan keperluan asas lain.

“Kami sentiasa ambil maklum perkembangan pembinaan rumah dan saya pasti berasa sebak, alhamdulillah bantuan semua pihak menjadi kekuatan untuk kami sekeluarga bangkit.

“Rasa sedih, rasa gembira semua ada sebab benda yang kita tak jangka tersedia tanpa kita meminta-minta. Semua disiapkan dalam masa sebulan. Alhamdulillah,” katanya.

Menurutnya, buat sementara waktu suaminya menjaja jagung rebus di restoran dan kedai makan sekitar Masjid Tanah untuk menjana pendapatan sementara menunggu peluang yang lain.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

504
Kongsi :
Previous post TANJUNG BIDARA BERSELAWAT HIMPUNKAN LEBIH 5,000 UMAT ISLAM