Kedai telefon rupanya premis judi

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

DUYONG 3 Ogos – Disangka menjalankan perniagaan menjual barangan telefon bimbit, rupa-rupanya ia hanyalah bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa untuk menjalankan kegiatan judi dalam talian.

Bagaimanapun, premis yang disangka kebal itu akhirnya menerima balasan apabila bekalan elektriknya dipotong hasil operasi bersepadu Polis Kontinjen Melaka bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah berkata, sepanjang Januari hingga Julai tahun ini, sebanyak 100 premis telah dipotong bekalan elektrik mengikut Seksyen 21A (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Pindaan 2001) kerana telah menjalankan kegiatan perjudian.

Jelasnya, ia membabitkan 65 premis di daerah Melaka Tengah, 17 di daerah Alor Gajah dan 18 di Jasin.

“Premis-premis ini menjalankan kegiatan perjudian dalam talian dengan berselindung di sebalik perniagaan barangan telefon bimbit bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Siasatan polis juga mendapati kesemua premis tersebut pernah diserbu beberapa kali sebelum ini, namun pemilik dan pejaga premis masih berdegil,” katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas operasi bersepadu yang diketua Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Melaka Asisten Komisioner Lim Meng Seah di Taman Semabok Perdana, di sini, hari ini.

Operasi itu dijalankan 28 pegawai dan anggota JSJ Melaka bersama 15 pegawai TNB Melaka.

Mengulas lanjut, Zainol berkata, pihaknya juga telah bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi menyekat laman-laman sesawang perjudian daripada dilayari pengunjung.

Menurutnya, setakat Januari hingga Julai tahun ini, sebanyak 60 laman sesawang telah diserahkan kepada pihak SKMM bagi tujuan sekatan.

“Pihak polis tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti perjudian dan akan terus konsisten membanteras aktiviti ini daripada berleluasa,” tegasnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1140
Kongsi :
Previous post 51 guru murung, stres di Melaka akan dipanggil – Exco
Next post Jawatankuasa tangani gelandangan akan diwujudkan – PM
Ubah saiz-+=