51 guru murung, stres di Melaka akan dipanggil – Exco

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

PAYA RUMPUT 3 Ogos – Jabatan Pendidikan Negeri Melaka (JPNM) akan memanggil 51 guru yang telah dikenal pasti mengalami stres dan kemurungan dalam tempoh terdekat bagi menjalankan siasatan terperinci.

Exco Pendidikan dan Teknologi negeri Datuk Rais Yasin berkata mengikut pecahan seramai 23 orang guru dengan 3.54 peratus berada pada tahap stres atau tekanan dan 28 orang guru (4.32 peratus) berada di tahap kemurungan.

Katanya, jumlah itu antara 648 (4.63 peratus) daripada jumlah 13,976 orang guru di Negeri Melaka yang dikenalpasti telah menjawab saringan DASS (Depression, Anxiety,Stress Scale).

“Kerajaan negeri tidak mungkin akan lepas tangan akan isu ini, dan saya pasti Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga mempunyai cara untuk mengatasi hal ini menerusi Unit Kaunseling dan Psikologi KPM.

“Dalam tempoh segera kita akan memanggil guru-guru yang telah dikenal pasti dan kita akan memastikan jumlah ini dapat dikurangkan punca tekanan dan difahamkan mereka (guru) ini ada yang menghadapi pelbagai masalah antaranya faktor kewangan dan isu luar daripada kerja.

“Bagaimanapun, data terperinci kita akan dapatkan dalam masa terdekat dan isu ini saya akan bawa ke dalam mesyuarat Exco pada minggu hadapan untuk dibincangkan lebih lanjut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kejohanan Bola Jaring Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Negeri Melaka (MSSNM) di Kompleks Sukan, Krubong hari ini.

Mengulas lanjut, Rais berkata 51 guru menghadapi isu tekanan dan kemurungan itu hanyalah jumlah terpencil sahaja di negeri ini.

Katanya, jika disemak secara keseluruhan, bukan di sektor pendidikan sahaja berlakunya isu melibatkan tekanan dan murung itu, bahkan ia juga melibatkan pelbagai sektor lain.

“Hal tekanan dan murung ini bukan dihadapi di Negeri Melaka tapi di tempat lain dan di sektor-sektor lain juga berlakunya tekanan,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1013
Kongsi :
Previous post OKU semangat kibar Jalur Gemilang
Next post Kedai telefon rupanya premis judi
Ubah saiz-+=