Sorting by

×

KEKURANGAN DIRI BUKAN HALANGAN MUHAMMAD AIDIL CEMERLANG STPM

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

TELOK MAS 25 Jun – “Kekurangan diri bukan penghalang, sebaliknya membakar semangat untuk buktikan bahawa saya juga mampu berjaya,” itu kata pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024, Muhammad Aidil Farhan Muhammad Kamal yang juga orang kurang upaya (OKU).

Muhammad Aidil Farhan, 20, bekas pelajar Kolej Tingkatan Enam Tun Fatimah, Durian Daun, disahkan menghidap masalah ‘Motor Neuron’ (MND) sejak lahir yang menyebabkan dia tidak boleh berjalan.

Selain itu anak bongsu kepada pasangan Muhammad Kamal Chinakarppen, 61, dan Zanariah Noor Mohd, 51, ini juga disahkan mengalami masalah tulang belakang bengkok (melengkung) atau ‘skoliosis’

Namun kekurangan itu bukan alasan buat Muhammad Aidil Farhan untuk berputus asa sebaliknya dia membuktikan dirinya mampu menjadi yang terbaik apabila memperoleh 8A ketika menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Kini dia sekali lagi mengulangi pencapaian cemerlang apabila meraih Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.58 bagi peperiksaan STPM.

“Keputusan ini adalah luar jangkaan, kerana saya hanya sasarkan PNGK 3.2 sahaja, namun Alhamdulillah ini rezeki buat saya dan keluarga. Pencapaian ini bukan sahaja hasil usaha saya seorang tetapi juga pengorbanan ayah, ibu, abang, guru dan rakan-rakan yang banyak membantu.

“Apa yang saya pegang adalah jangan mudah berputus asa, malah saya juga mahu membantu ibu dan bapa yang banyak bekorban untuk saya sehingga hari ini,” katanya yang ditemui di rumahnya di Kampung Permatang Pasir, hari ini, selepas menerima kunjungan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong.

Menurut anak bongsu dari dua beradik ini, dia sentiasa positif dalam hidupnya dan cuba melakukan yang terbaik supaya cita-citanya untuk bergelar pensyarah tercapai.

“Saya belajar seperti rakan-rakan lain termasuk mengulang kaji dalam kumpulan dan membuat nota ringkas khususnya bagi subjek yang saya kurang faham.

“Perancangan saya selepas ini untuk menyambung pengajian ke universiti dalam bidang ekonomi atau perakaunan semoga keputusan STPM ini menjadi permulaan untuk saya melangkah lebih jauh,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

647
Kongsi :
Previous post LELAKI MAUT DIHEMPAP RUNTUHAN PAPAN TANDA BATU
Next post HARGA RON95 KEKAL, RON97 DAN DIESEL NAIK TUJUH SEN SELITER