Kekurangan tenaga kerja risaukan pekebun kecil

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

KLEBANG 3 Jun – Kekurangan tenaga pekerja dalam kalangan sebahagian pekebun kecil di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang dilihat akan memberi impak kepada pengeluaran hasil sekiranya hal itu tidak ditangani.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang Datuk Lim Ban Hong berkata, beberapa aduan diterima pihaknya berhubung isu itu dan tindakan segera akan diambil.

“Pengurusan dusun buah-buahan pada masa ini memerlukan tenaga kerja khususnya pekerja asing dalam melakukan kerja di ladang.

“Untuk itu saya akan bersama pengusaha dusun, ladang dan petani akan berhubung dengan Kementerian Sumber Manusia dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) bagi membincangkan hal ini.

“Dengan tindakan ini diharap lebih ramai tenaga kerja akan dapat disalurkan kepada pengusaha dusun dan ladang termasuk pertanian dalam membantu meningkat hasil pengeluaran,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat kebun jambu di Setulang Daeng, Bukit Rambai, di sini, hari ini.

IMG_20230603_161244_419
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang, Datuk Lim Ban Hong (kanan) diiringi pengusaha ladang, Chan kian Lee , 38 (tengah) bersama bapanya Chan Teng Chay, 65, (kiri) meninjau tanaman jambu di ladang jambu, Chan Agrotech, Bukit Rambai, Melaka. Foto: MR. AZLI

Menurutnya, selain bergantung harap kepada tenaga kerja manusia dalam menjalankan aktiviti pertanian, para pengusaha juga perlu melakukan transformasi bagi mengurangkan kebergantugan.

“Misalnya jika dahulu kebun atau ladang diuruskan dengan cara tradisional mungkin pengusaha boleh kehadapan dengan mula menggunakan kaedah ‘modern farming’.

“Apabila kaedah ini diguna atau digantikan dengan penggunaan mesin secara berperingkat itu dapat mengurangkan kebergantungan terhadap kemasukan pekerja asing,” katanya.

Ujar Ban Hong, di DUN Klebang terdapat seramai 11 pengusaha yang aktif mengusahakan 15 hektar tanaman antaranya pisang, jagung mangga dan sayuran.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1750
Kongsi :
Previous post Cuaca panas jejas pesawah, petani
Next post Murah rezeki pak cik nasi lemak ‘viral’
Ubah saiz-+=