Kelapa ‘sedang-sedang’ rahsia kelazatan lempeng kelapa

Masa Membaca:2 Minit, 4 Saat
BAKRI (kiri) dan Hashri (kanan) – Foto Din Ahmad

TANJUNG BIDARA 18 Julai – Bukan semua kelapa boleh menghasilkan lempeng kelapa yang enak, lembut dan basah.

Sebaliknya hanya kelapa yang tidak terlalu tua dan tidak terlalu muda menjadi rahsia kepada hidangan yang lazat, sebelum ia diadun dengan tepung dan garam

Bagi mendapatkan kelapa seumpama itu, mereka yang memetiknya harus bijak membezakan antara kelapa yang sudah terlalu tua dengan kelapa yang terlalu muda.

Kerana kesilapan memilih akan membuatkan kedua-dua kategori kelapa itu tidak mampu digunakan untuk menghasilkan lempeng kelapa berkualiti tinggi.

Bagi memastikan hanya kelapa yang benar-benar sesuai dipetik untuk membuat kuih berkenaan, Bakri Jantan, 64, menggunakan segala kemahirannya mengait kelapa sejak berusia belasan tahun.

Beliau berkata, kelapa pilihan lempeng berkualiti boleh dikenalpasti melalui rupa kulitnya sama ada yang sudah berwarna tua atau muda dan lazimnya dalam setandan kelapa, semuanya berusia hampir sebaya.

“Kalau warnanya sudah pucat atau tua, itu bermakna kelapa itu sudah tua dan tidak sesuai untuk dibuat lempeng kelapa kerana jika dibuat juga, lempeng akan menjadi terlalu kering dan keras.

“Warna yang terlalu muda pula bermakna kelapa itu masih ‘berhingus’ atau tidak mempunyai isi yang boleh diparut atau dimesin dan hanya sesuai untuk dimakan begitu sahaja,” katanya ketika ditemui di Kampung Pasir Gembor, Tanjung Bidara  hari ini.

Selepas mengenal pasti kelapa yang sudah boleh dipetik untuk dijadikan lempeng, Bakri yang dibantu anak saudaranya, Hashri Mohd Ridzuan, 16, akan mengait kelapa dengan galah panjang.

Katanya, jika 30 tahun lalu mampu memerah kederat memanjat pokok kelapa untuk menurunkan antara 50 hingga 100 biji kelapa sehari, sekarang akibat faktor usia, dia hanya mampu menurunkan kelapa dengan menggunakan galah panjang.

Beliau berkata, kelapa berkenaan digunakan adiknya, Mohd Ridzuan, 51, untuk dijadikan lempeng di warungnya di kampung berkenaan yang menerima permintaan tinggi dalam kalangan pelanggan.

“Jika saya tidak jumpa kelapa lempeng di sekitar kampung ini, saya akan menghubungi beberapa kawan di kampung lain yang boleh mendapatkannya dan menjualnya kepada saya pada harga antara RM1 hingga RM1.50 sebiji bergantung kepada saiznya,” katanya.

Hashri yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ade Putra, Masjid Tanah berkata, beliau masih mampu mengopek antara 50 hingga 100 kelapa sehari untuk dijadikan stok dalam menghasilkan lempeng kelapa.

“Kami pernah buat lempeng menggunakan kelapa tua tetapi pelanggan mengadu ia tidak sedap dan keras dan sejak itu kami tidak lagi menggunakan kelapa tua,” katanya.

Sekeping lempeng kelapa bernilai RM1 amat digemari pelanggan, terutama mereka yang gemar mencecahnya dengan sambal tumis ikan bilis, katanya.

Views:

1652
Kongsi :
Previous post PDRM mohon kerajaan naikkan elaun perumahan
Next post AS perlu adil terhadap Top Glove – MITI
Ubah saiz-+=