AS perlu adil terhadap Top Glove – MITI

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat
MOHAMED Azmin bersama Ban Hong (tiga kanan) ketika melawat dua industri dalam lawatannya ke Melaka hari ini.

PENGKALAN BATU 18 Julai – Kerajaan Malaysia meminta agar Amerika Syarikat (AS) berlaku adil kepada syarikat pengeluar sarung tangan getah terbesar dunia, Top Glove Corp Bhd (Top Glove).

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, tindakan AS menyekat eksport produk berkenaan adalah tidak wajar memandangkan syarikat bertaraf antarabangsa itu telah menghulurkan bantuan yang cukup besar sepanjang penularan pandemik Covid-19 baru-baru ini.

Katanya lagi, pihak kerajaan akan berurusan dengan kedutaan AS dalam usaha memastikan operasi produk sarung tangan getah antara yang terbesar di dunia itu tidak terganggu.

“Saya difahamkan pihak Top Glove juga sedang berurusan dengan pihak Kastam Amerika Syarikat untuk memperjelaskan mengenai beberapa andaian dan dakwaan yang telah dilontarkan kepada mereka.

“Proses ini perlu supaya tidak timbul sebarang dakwaan yang tidak berasas kepada mereka. Sebelum ini juga kita pernah menghadapi masalah sama dengan syarikat tempatan yang lain. Tetapi selepas diberi penjelasan, pihak AS telah menarik balik sekatan dan membenarkan eksport produk berkenaan.

“Jadi, kita sangat berharap proses rundingan yang berlangsung berjalan lancar dan di pihak kerajaan, kita akan berbincang dan cuba meyakinkan pihak berkuasa di sana (AS) bahawa Top Glove wajar menyambung semula operasi dan mengeksport produknya di pasaran Amerika,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke dua buah kilang iaitu Dominant Opto Technologies Sdn Bhd dan Texas Instruments Electronics Sdn Bhd di Batu Berendam, di sini.

Hadir sama, Timbalan Menteri MITI, Senator Datuk Lim Ban Hong.

Terdahulu, Amerika Syarikat dilaporkan mengenakan sekatan ke atas dua anak syarikat Top Glove iaitu Top Glove Sdn Bhd dan Tg Medical Sdn Bhd pada Rabu.

Tindakan itu dipercayai berpunca daripada dakwaan bahawa Top Glove menggunakan khidmat buruh paksa hingga menyebabkan syarikat berkenaan diletakkan dalam senarai sekatan oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadanan (CBP).

Views:

310
Kongsi :
Previous post Kelapa ‘sedang-sedang’ rahsia kelazatan lempeng kelapa
Next post Menteri agama sedia bincang isu LGBT
Ubah saiz-+=