
WRUR KOTA LAKSAMANA: KESEJAHTERAAN RAKYAT KEUTAMAAN MELAKA
KOTA LAKSAMANA 17 Mei – Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) adalah manifestasi kepada gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) lahir daripada sebuah kerajaan memilih untuk hadir sendiri mendengar denyut nadi rakyat.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, melalui WRUR, hakikatnya Kerajaan Negeri sedang mengangkat satu prinsip bahawa pemimpin tidak pernah jauh daripada rakyat.
Malah beliau yakin, negeri ini akan terus maju bukan hanya kerana bangunan yang dibina, tetapi kerana semangat dan kesepaduan rakyatnya yang sentiasa bersama kerajaan dalam membangunkan Melaka.
“Saya percaya disebalik bangunan bersejarah dan kepesatan bandar di Kota Melaka ini, di bawahnya menghimpunkan keluhan realiti sebuah komuniti bandar.
“Sejak saya mentadbir Negeri ini fokus Kerajaan Negeri Negeri amat jelas iaitu kita mahu ekonomi berkembang, pelaburan terus masuk, peluang pekerjaan diwujudkan dan dalam masa yang sama kebajikan rakyat tidak dipinggirkan.
“Apatah lagi, hari ini kita berpijak di bumi Kota Melaka yang bukan sekadar pusat pelancongan dan warisan dunia tetapi wajah hadapan Negeri Melaka. Ia tentang imej bandar ini, kebersihannya, sistem lalu lintasnya, peluang ekonominya dan kesejahteraan rakyatnya mesti sentiasa menjadi keutamaan Kerajaan Negeri,” kata Ketua Menteri.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program WRUR Parlimen Kota Melaka: Kampung Kita DUN Kota Laksamana di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pay Teck, di sini, hari ini.
Hadir sama Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh yang menjalankan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin serta Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan merangkap Penyelaras Program WRUR.
Yang turut hadir Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; barisan Exco Kerajaan Negeri, Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Low Chee Leong, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Laksamana serta Pegawai Daerah Melaka Tengah Mohd Shaiful Hizam Johan.
Ab Rauf berkata, berpandukan gagasan MeSRa, ia bukan sekadar retorik tetapi prinsip jelas pentadbiran Kerajaan Negeri hari ini yang mengutamakan rakyat.
Menurutnya, kerajaan yang hebat bukan dinilai pada tingginya bangunan dibina tetapi sejauh mana rakyat dapat tidur dengan lena, makan secukupnya dan menjalani kehidupan baik hasil daripada dasar serta tindakan dilaksanakan pemimpin diberikan amanah untuk mentadbir Melaka.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

