Sorting by

×

WRUR KOTA LAKSAMANA: SUARA RAKYAT PANDUAN PEMBANGUNAN MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

KOTA LAKSAMANA 17 Mei – Sebanyak 2,474 daripada keseluruhan 3,664 aduan diterima sepanjang 15 siri Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) sebelum ini sudah diselesaikan oleh Kerajaan Negeri.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, baki aduan berkenaan kini sedang dalam tindakan segera pelbagai agensi berkaitan dan tidak dibiarkan begitu sahaja tanpa sebarang penyelesaian.

Tegas beliau, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), agensi dan jabatan diingatkan supaya tidak sesekali memandang kecil keluhan rakyat dan tindakan segera mesti diambil.

“Jangan tunggu ‘viral’ baru mahu bertindak, jangan tunggu marah baru turun padang.  Suara rakyat bukan sekadar didengari tetapi menjadi kompas utama dalam menentukan setiap dasar, setiap tindakan dan setiap keputusan kerajaan.

“Justeru, saya mengajak seluruh keluarga besar Parlimen Kota Melaka untuk memanfaatkan peluang dan ruang ini sebaik mungkin. Jumpa kami, sampaikan aduan, pandangan dan cadangan anda terus kepada Exco serta Adun,” kata Ketua Menteri.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program WRUR Parlimen Kota Melaka: Kampung Kita DUN Kota Laksamana di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pay Teck, di sini, hari ini.

Hadir sama Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh yang menjalankan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin serta Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan merangkap Penyelaras Program WRUR.

Yang turut hadir Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; barisan Exco Kerajaan Negeri,  Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Low Chee Leong, merangkap Adun Kota Laksamana serta Pegawai Daerah Melaka Tengah Mohd Shaiful Hizam Johan.

Ab Rauf berkata, setakat ini bagi Perlimen Kota Melaka sebanyak 413 aduan diterima dan akan diselesaikan secara satu persatu.

” Mungkin bagi sesetengah pihak angka itu hanya statistik, tetapi bagi saya, setiap satu aduan tersebut adalah amanah dan tanggungjawab yang mesti diselesaikan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

91
Kongsi :
Previous post WRUR KOTA LAKSAMANA: JAPERUN BAHARU SIAP DALAM TEMPOH TIGA TAHUN