Sorting by

×

MASJID BAHARU MAKBUL IMPIAN KARIAH LESONG BATU

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

MACHAP JAYA 17 Mei – Setelah sekian lama bergantung kepada masjid di kampung bersebelahan, penduduk Lesong Batu kini bakal melakar satu lagi sejarah apabila akan memiliki masjid sendiri tidak lama lagi.

Pembinaan Masjid Lesong Batu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya itu kini mencapai kemajuan antara 60 hingga 70 peratus siap, sekali gus memberi sinar baharu kepada komuniti yang semakin berkembang di kawasan itu.

Pengerusi JPKK Lesong Batu Mat Zin Minhad berkata, sebelum ini penduduk di kawasan berkenaan bergantung kepada masjid di Kampung Melaka Pindah untuk menunaikan solat berjemaah dan aktiviti keagamaan.

Menurutnya, pembinaan masjid baharu itu amat dinantikan memandangkan pertambahan penduduk yang semakin meningkat saban tahun, khususnya dengan pembangunan kawasan taman berhampiran.

“Selama ini kita tiada masjid sendiri, jadi kariah Lesong Batu menumpang di Masjid Kampung Melaka Pindah. Dengan adanya masjid ini nanti, ia akan memudahkan urusan ibadah penduduk setempat.

“Masjid ini dijangka mampu menampung kira-kira 1,000 jemaah dalam satu-satu masa dan masjid ini dijangka siap menjelang hujung tahun 2026 sekiranya tiada sebarang kelewatan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Tambahnya, masjid tersebut dibina berhampiran kawasan Pejabat Kebajikan Masyarakat Alor Gajah dan berhadapan Taman Lesong Batu Emas, sekali gus berada di lokasi strategik untuk kemudahan penduduk sekitar.

“Kampung Lesong Batu merupakan sebuah perkampungan kecil yang unik kerana terletak di dalam kawasan taman perumahan, kita mempunyai sekitar 12 hingga 13 buah rumah kampung sahaja dan kebanyakannya berada dalam kawasan ladang.

“Ia boleh dianggap sebagai kampung dalam taman, namun tetap mempunyai identiti dan komuniti tersendiri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

74
Kongsi :
Previous post MENARA TAMING SARI HIMPUNKAN 150 RIDER DGR 2026, BAWA MESEJ KESIHATAN LELAKI