Menteri agama sedia bincang isu LGBT

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

MARANG, 18 Julai – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohd Al-Bakri berkata beliau bersedia mengadakan perjumpaan dengan badan bukan kerajaan (NGO) untuk membincangkan isu golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Katanya beliau menerima banyak jemputan daripada NGO yang mahu mengadakan dialog bagi membincangkan isu-isu berkaitan golongan itu.

“Saya juga akan lakukan lawatan ke program-program yang dikolaborasi oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), dan NGO untuk bersama-sama berdialog dengan rakan sahabat transgender,” katanya  kepada pemberita selepas program Musaadah COVID-19 di Kampung Sena Rendang, hari ini.

Sebanyak 200 penerima daripada golongan B40 menerima bantuan barangan keperluan bernilai RM20,000 pada program itu.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata JAWI tidak pernah menggunakan kuasa sewenang-wenangnya untuk menangkap golongan transgender sepertimana didakwa Suruhanjaya Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Bagaimanapun, menurutnya golongan tersebut perlu mematuhi batasan dalam masyarakat, keluarga dan kejiranan bagi mewujudkan suasana harmoni dalam kehidupan majmuk.

“Apa yang saya nak tekankan di sini ialah kita (penguat kuasa) bukan bersifat semua orang kita nak tangkap …itu bukan kerja kita.

“Insya-Allah kita akan adakan dialog perbincangan untuk kita sama-sama mencari titik persamaan dan kebenaran,” katanya.

Zulkifli berkata undang-undang negara sedia ada cukup bagi menangani isu LGBT.

— BERNAMA

Views:

406
Kongsi :
Previous post AS perlu adil terhadap Top Glove – MITI
Next post Taman Nyalas Permai penanda aras komuniti hijau
Ubah saiz-+=