Taman Nyalas Permai penanda aras komuniti hijau

JASIN 18 Julai – Taman Nyalas Permai, di sini menjadi taman perumahan pertama di Melaka disenaraikan dalam Program Inisiatif Komuniti Hijau oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).

Ia sekali gus, menjadikan komuniti di taman berkenaan sebagai penanda aras buat taman-taman perumahan lain di negeri ini mengenai cara menguruskan sisa pepejal di kejiranan masing-masing dalam memastikan bumi Melaka bebas dari sampah dan kekal hijau.

SWCorp dalam kenyataan berkata, komuniti Taman Nyalas Permai juga akan bertindak sebagai komuniti suri tauladan di negeri ini untuk mendidik masyarakat secara ‘hands on’ menerusi bengkel yang disediakan dalam usaha menjaga kelestarian alam sekitar.

Menerusi Program Inisiatif Komuniti Hijau yang berlangsung pagi tadi, pelbagai aktiviti telah dijalankan, antaranya gotong royong, komposting plastik dan kertas secara ‘Kitar Cycle’, program ‘free market’ sisa fabrik dan menjual semula minyak masak terpakai.

Selain itu turut diadakan program penanaman pokok bagi menjaga ekosistem taman berkenaan.

Program itu telah dirasmikan oleh Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Negeri, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asahan, Datuk Seri Abdul Ghafaar Atan.

Ia turut dijayakan dengan kerjasama Pejabat Daerah Jasin, Majlis Perbandaran Jasin, Jabatan Penerangan, Jabatan Perhutanan Melaka, Perbadanan Teknologi Hijau Melaka, SWM Environment Sdn. Bhd, Pejabat Japerun Dun Asahan serta penduduk.

Views:

275
Previous post Menteri agama sedia bincang isu LGBT
Next post Kempen Beli Barangan Malaysia manfaatkan pengilang Bumiputera