Kempen Beli Barangan Malaysia manfaatkan pengilang Bumiputera

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

KUALA LUMPUR, 19 Julai – Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) akan memanfaatkan pengilang Bumiputera berikutan saranan kerajaan untuk mengutamakan produk tempatan berbanding produk import, menurut Persatuan Pengilang dan Industri Perkhidmatan Bumiputera Malaysia (PPIPBM).

Presidennya Datuk Azman Yusoff berkata KBBM dijangka dapat memulihkan segera ekonomi negara selain ia juga seiring dengan usaha kerajaan mewujudkan Majlis Kemakmuran Bumiputera bagi menggalakkan pengilang Bumiputera meningkatkan produktiviti mereka.

“Untuk itu, pengilang dan pengusaha Bumiputera mestilah mengeluarkan produk bermutu tinggi dengan pembungkusan yang menarik, bagi menarik pengguna serta setanding dengan produk import.

“Syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat perniagaan juga dinasihatkan memberi ruang pasaran yang lebih luas terutama di pasar raya besar seperti di Suria KLCC supaya produk tempatan dapat dipasarkan di pusat beli-belah bertaraf lima bintang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan Program Jualan Mega dan KBBM peringkat kebangsaan bagi memulih dan mengekalkan daya saing ekonomi pascapandemik COVID-19.

KBBM anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merupakan kempen kesedaran kepenggunaan, diadakan secara jelajah di pelbagai zon di seluruh negara bermula semalam sehingga akhir tahun.

Dalam pada itu, Azman berkata kerajaan tempatan menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) turut disaran mempermudah urusan usahawan Bumiputera berikutan terdapat pengilang yang didapati tertekan dengan kos pengurusan ketika COVID-19.- BERNAMA

Views:

302
Kongsi :
Previous post Taman Nyalas Permai penanda aras komuniti hijau
Next post Pantau persiapan akhir Sidang DUN
Ubah saiz-+=