Kelindan maut kemalangan lori rempuh lori

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

ALOR GAJAH 8 Sept – Seorang kelindan maut apabila lori tanpa muatan dinaikinya merempuh sebuah lori lain dalam kemalangan di Kilometer 219.9 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, di sini petang, tadi.

Dalam kejadian jam 4.50 petang itu, Ahmad Lotfi Mohamad, 41, terbunuh manakala rakan pemandu berusia 40 tahun cedera dan seorang lagi pemandu lori yang membawa muatan makanan ringan berusia 42 tahun tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua lori berkenaan menghala arah utara dengan lori dinaiki kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari Melaka menghala ke Perak.

Katanya, sebuah lagi lori dalam perjalanan dari arah Johor Bharu menghala ke Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, lori dinaiki kedua-dua mangsa gagal dikawal sebelum merempuh belakang sebuah lagi lori di lorong kiri daripada tiga lorong utama lebuh raya berkenaan.

“Akibat rempuhan itu, lelaki yang duduk di bahagian penumpang meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di bahagian perut dan kaki sebelum dibawa ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat.

“Manakala pemandunya cedera dan dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban, Negeri Sembilan untuk rawatan susulan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Arshad berkata, siasatan lanjut di lokasi kejadian mendapati terdapat kesan tayar di lorong paling kiri dan beberapa kesan serpihan kenderaan bertaburan di lorong berkenaan.

“Kemalangan dipercayai berpunca daripada kegagalan pemandu lori mengawal kenderaan.

“Keadaan lebuh raya di lokasi kejadian merupakan jalan lurus serta mempunyai tiga lorong dan ketika kejadian, keadaan cuaca baik dan tidak hujan,” katanya.

MAYAT mangsa, Ahmad Lotfi Mohamad dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat. Foto – ihsan PDRM.

Beliau berkata siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Lori dinaiki dua lelaki termasuk kelindan yang meninggal dunia remuk akibat rempuhan dengan sebuah lagi lori muatan makanan ringan di Kilometer 219.9 (PLUS) arah utara, petang tadi.

Mayat mangsa, Ahmad Lotfi Mohamad, 41 dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1418
Kongsi :
Previous post Kerajaan perlu wujudkan sistem saraan baharu
Next post Pekerja kilang cetus kluster baharu di Melaka
Ubah saiz-+=