Kelu, lihat kabin asam pedas musnah

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

PANTAI KUNDOR 21 September – Seorang peniaga di Pantai Puteri, di sini, kelu apabila melihat kabin tempatnya mencari rezeki dengan menjual asam pedas musnah dihempap pokok dalam kejadian ribut, jam 4 pagi semalam.

Maizatul Aini Basri berkata, berdasarkan gambar yang dihantar Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pantai Rombang, Muhammad Shafiq Ab Majid, dia beranggapan kerosakan dialami kabin tidak serius.

Namun kerana berasa ada yang tidak kena Maizatul Aini, mengajak suaminya ke lokasi untuk melihat sendiri keadaan kabin berkenaan yang sebenarnya mengalami kerosakan teruk.

“Sudah setahun saya berniaga di kawasan ini, banyak kelengkapan seperti periuk nasi rosak dimasuki air, rak besi juga patah.

“Mujur barangan seperti sudu garfu dan tong gas masih boleh digunakan. Sekarang saya buntu memikirkan cara untuk memulakan semula perniagaan, kerana modal diperlukan agak tinggi,” katanya ketika ditemui hari ini.

Akibat kekurangan kelengkapan dia juga terpaksa menolak tempahan daripada pelancong yang mahu bercuti ke pantai berkenaan hujung minggu ini.

“Malah kami juga tidak dapat memberi sokongan kepada anak yang beraksi pada perlawanan akhir kriket di Sukma, hari ini,” katanya.

photo1663742029
WARDIYANI Ayu Baba, 35, ditemui di Solok Hasan Yasin, Pantai Rombang. Foto Iqmal Haqim Rosman

Sementara itu penduduk di Kampung Solok Hasan Yasin, Pantai Rombang, Wardiyani Ayu Baba, 35, berkata dia dan suami berdepan detik cemas apabila dinding ruang tamu rumah retak berikutan tembok luar kediaman mereka sepanjang kira-kira tiga meter roboh.

“Apabila terdengar bunyi kuat saya cuma fikir pokok yang tumbang tetapi pelik apabila melihat jam dinding diruang tamu bergoyang-goyang.

“Cemas dengan keadaan itu saya terus kejutkan suami dan apabila kami keluar kelihatan tembok sudah runtuh selain dinding ruang tamu juga retak,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor Tuminah Kadi berkata, dalam kejadian ribut itu sebanyak lapan buah rumah di kawasan itu terjejas.

“Banyak kediaman mengalami kerosakan bumbung. Saya maklum dengan kejadian malah sudah ke rumah terjejas dan kita akan cuba membantu membaiki kerosakan selain meringankan beban mangsa.

“Selain itu, 48 rumah juga turut terjejas akibat banjir kilat dan tindakan segera diambil termasuklah meminta bantuan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) untuk memotong serta membersihkan pokok tumbang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2470
Kongsi :
Previous post Melaka United hilang slot Piala Malaysia
Next post Bahan kimia tumpah, pembantu makmal dikejarkan ke klinik
Ubah saiz-+=