Melaka United hilang slot Piala Malaysia

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

KELAB Bolasepak Melaka United (Melaka United FC) hilang slot beraksi di Piala Malaysia selepas gagal melunaskan tunggakan gaji pemain dan pegawai.

Malaysian Football League (MFL) dalam satu kenyataan hari ini berkata keputusan itu dibuat Ahli Lembaga Pengarah MFL berikutan kelab itu gagal menyelesaikan bayaran tunggakan gaji seperti tarikh yang ditetapkan.

Menurut MFL, Melaka United telah menerima notis peringatan pada 6 September lalu untuk menyelesaikan segala tunggakan gaji atau mendapat persetujuan bersama pegawai dan pemain yang terlibat sehingga 20 September 2022.

Bagaimanapun setakat 21 September (hari ini) Melaka United hanya dapat mengemukakan bukti pembayaran sehingga Jun 2022.

“Melaka United gagal mematuhi arahan yang telah dikeluarkan di mana mereka hanya membuat pembayaran baki tunggakan gaji sehingga Jun 2022. Selain itu mereka juga belum mendapatkan persetujuan bersama pemain dan pegawai bagi bayaran baki tunggakan gaji berkenaan.

“Maka atas sebab itu, Ahli Lembaga Pengarah MFL membuat keputusan tidak membenarkan Melaka United bertanding dalam saingan Piala Malaysia musim ini.

“MFL mengingatkan agar Melaka United dapat menyelesaikan baki tunggakan gaji berkenaan bagi mengelakkan mereka tidak diberikan lesen bersaing dalam Liga Malaysia 2023,” kata MFL dalam satu kenyataan.

MFL memaklumkan, pasukan gantian bagi slot Melaka United untuk Piala Malaysia, akan diumumkan dalam masa terdekat.

Sementara itu, MFL berkata, Sarawak United FC telah menjelaskan semua bayaran gaji tertunggak kepada pemain sehingga bulan Ogos 2022.

Bayaran gaji tertunggak kepada pegawai pasukan pula telah dibayar sehingga bulan Julai 2022, bagaimanapun Sarawak United dan pegawai pasukan telah mencapai persetujuan bersama berkenaan bayaran tunggakan gaji bulan Ogos 2022.

“Walaupun ada usaha ditunjukkan oleh pihak pengurusan Sarawak United untuk menyelesaikan tunggakan gaji ini, MFL tetap memberi peringatan kepada Sarawak United agar isu seumpama ini tidak berulang lagi yang boleh memberi kesan kepada lesen untuk bertanding dalam Liga Malaysia 2023,” kata kenyataan itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5716
Kongsi :
Previous post Medan selera MBMB terbersih di Melaka
Next post Kelu, lihat kabin asam pedas musnah
Ubah saiz-+=