Keluarga Malaysia manifestasi hasrat, komitmen kerajaan – PM

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

KUALA LUMPUR 8 Okt.- Idea atau konsep Keluarga Malaysia yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam ucapan sulungnya pada 22 Ogos lalu dibentangkan secara rasmi kepada rakyat hari ini.

Berucap pada majlis prapelancaran itu, beliau berkata barangkali ramai yang tertanya-tanya apa sebenarnya idea Keluarga Malaysia dan mengapa ia menjadi ‘semangat’ yang mahu disemarakkan oleh kerajaan kini.

“Jawapannya mudah; kerana sebuah institusi keluarga sentiasa berperanan memelihara agama, melindungi keselamatan, menjaga maruah dan memastikan nasib setiap ahli keluarga terbela,” katanya.

Ismail Sabri
ISMAIL Sabri ketika menyampaikan ucapan pada prapelancaran Keluarga Malaysia.

Beliau berkata demikian pada prapelancaran Keluarga Malaysia di Auditorium Perdana Wisma Radio, Angkasapuri hari ini.

Hadir sama Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa; Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat; Yang di-Pertua Dewan Negara Tan Sri Dr. Rais Yatim dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun.

Ismail Sabri berkata, majlis prapelancaran itu adalah manifestasi hasrat dan komitmen kerajaan untuk menentukan hala tuju Malaysia.

“Usaha kita untuk menyebarkan konsep dan hala tuju Keluarga Malaysia, agar ia dapat difahami dan dihayati setiap lapisan masyarakat.

“Ia seiring dengan perjalanan kita memulih dan mengembalikan negara daripada impak krisis berkembar kesihatan dan ekonomi yang sedang kita lalui,” katanya.

Katanya, konsep dan pendekatan Keluarga Malaysia bukanlah sesuatu yang sukar untuk dihadam kerana ia sebenarnya berlandaskan nilai-nilai sedia ada yang dimiliki dalam setiap keluarga.

“Apa yang dilakukan kerajaan adalah mengharmoni dan mengangkat nilai-nilai ini sebagai panduan mengukuhkan lagi kekuatan Malaysia dengan keunikan pelbagai agama, bangsa dan kaum.

“Kesemua nilai Keluarga Malaysia berpaksikan kepada Keluhuran Perlembagaan Persekutuan seperti yang telah termaktub dalam Rukun Negara,” katanya.

Katanya, kelangsungan Keluarga Malaysia adalah aset yang mesti dipertahankan, nilainya adalah komponen penting demi menentukan jatuh, bangun bumi bertuah ini.

“Dalam konteks negara, ‘Keluarga Malaysia’ terdiri daripada pelbagai agama, bangsa, kaum dan usia.

“Meskipun berbeza kepercayaan, latar belakang dan budaya, kita meraikan ‘keterangkuman’ dalam perbezaan dan menjunjung semangat Malaysia sebagai
sebuah negara bangsa.

“Kemajmukan yang diraikan itu menjadi benih yang membugar dalam hati setiap rakyat Malaysia,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1056
Kongsi :
Previous post Lepas jumpa Anwar, jumpa Mat Sabu pula…
Next post ‘Saya jamin segala perancangan pembangunan diteruskan’ – Kamel
Ubah saiz-+=