Keluarga telah berinteraksi dengan Tun M, masih dirawat di IJN – Marina

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

KUALA LUMPUR, 23 Jan – Datin Paduka Marina Mahathir hari ini memaklumkan bahawa mereka sekeluarga telah berinteraksi dengan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini masih dirawat di Institut Jantung Negara (IJN).

Marina yang mewakili pihak ibunya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali berkata mereka sekeluarga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak di dalam dan luar negara, yang menganjurkan majlis bacaan yasin dan doa selamat untuk kesembuhan Dr Mahathir.

Ucapan terima kasih turut dipanjangkan kepada orang ramai daripada pelbagai agama yang telah mengirim doa serta ucapan agar Tun Dr Mahathir cepat sembuh.

“Kami juga berharap agar orang ramai tidak mengendahkan khabar angin yang disebarkan oleh sumber-sumber yang tidak sahih.

“Pihak IJN dan keluarga Tun Dr Mahathir akan mengeluarkan kenyataan dari semasa ke semasa. Sekali lagi kami mengucapkan terima kasih kepada semua,” kata anak sulung Dr Mahathir itu dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam Marina dalam kenyataan memaklumkan keadaan Dr Mahathir stabil dan memberi respons yang baik kepada rawatan lanjutan prosedur elektif yang dijalankan.

Dr Mahathir sebelum ini dibenarkan keluar dari IJN pada 13 Jan selepas dimasukkan ke pusat perubatan itu pada 7 Jan bagi menjalani prosedur perubatan elektif yang dikendalikan sepasukan doktor daripada institut itu dan Pusat Perubatan Universiti Malaya pada 8 Jan. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

967
Kongsi :
Previous post Melaka United umum trio import baharu musim 2022
Next post Lelaki maut ditikam isteri
Ubah saiz-+=