‘Kenapa saya dipersalahkan?’ – Ab Rauf

0
4908
PENGERUSI Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh

AYER KEROH 9 Okt. – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh kesal dengan kenyataan sebuah portal yang mendakwa dirinya cuba ‘minta nyawa’ daripada DAP susulan kemelut politik yang berlaku di negeri ini.

Beliau berkata, pertemuan dengan Pengerusi DAP Melaka bukanlah satu rundingan, sebaliknya beliau hanya mahu mencadangkan memorandum persefahaman di antara parti politik sebagaimana dilakukan kerajaan di peringkat Pusat.

Katanya, rundingan itu juga selaras dengan hasrat Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali yang mahu jalinan kerjasama strategik antara kerajaan negeri Melaka dengan pembangkang.

Bagaimanapun katanya, dalam pertemuan itu, wakil DAP dilihat enggan menerima sebarang cadangan, sebaliknya bersungguh-sungguh mahu merampas kuasa.

“Untuk mengatakan saya ‘minta nyawa’ daripada DAP adalah tidak berlaku sama sekali kerana saya melihat bentuk (bahasa) badannya (Pengerusi DAP Melaka, Datuk Tey Kok Kiew) seolah-olah tidak mahu sebarang perancangan dan ingin tetap meneruskan agenda mereka esok (Isnin 4 Oktober).

“Jadi, saya telah meletakkan garis sempadan kepada beliau bahawa saya juga bersedia dengan 1,001 kemungkinan demi mempertahankan negeri ini daripada Pakatan Harapan (PH) yang telah dikhianati sebelum ini.

“Saya kekal dan akan terus istiqamah demi perjuangan bangsa dan agama dan tidak akan sesekali menggadaikan UMNO kepada DAP,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Justeru, Ab Rauf menzahirkan perasaan itu apabila dirinya dipersalahkan sedangkan cubaan untuk meruntuhkan Negeri Melaka datangnya daripada pihak ‘sebelah sana’.

“Kenapa saya dipersalahkan? Kenapa tidak mereka yang bersama DAP dan cuba meruntuhkan kerajaan negeri?

“Saya cuba menyelamatkan negeri ini daripada ditadbir semula oleh empat pengkhianat yang mahu bergabung dengan DAP untuk merampas kuasa. Saya bukan menyelamatkan DAP. Tidak!

“Saya telah bersedia dengan segala kemungkinan dan tidak akan mengizinkan walau seminit DAP mentadbir negeri Melaka,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.