Pulau Batu Puteh: Pasukan Petugas Khas diwujudkan semak semula undang-undang

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

KUALA LUMPUR 9 Okt – Pasukan petugas khas akan diwujudkan bagi membuat kajian menyeluruh, meneliti dan mencadangkan opsyen-opsyen bersesuaian dengan mendapatkan pandangan pakar undang-undang antarabangsa bagi membuat semakan semula undang-undang berkenaan kes Pedra Branca/Pulau Batu Puteh.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata petugas khas itu bertujuan untuk menyemak semula undang-undang berkenaan permohonan semakan dan pentafsiran kes Pulau Batu Puteh itu.

Menurut perdana menteri penubuhan pasukan petugas khas itu yang diputuskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri semalam, akan dipengerusikan bekas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

“Jemaah Menteri juga telah membuat keputusan untuk mendapatkan pandangan undang-undang awal berkenaan tindakan undang-undang di bawah tort of misfeasance ke atas mana-mana pihak yang didapati telah melakukan kecuaian dan kekhilafan ekoran tidak meneruskan permohonan semakan dan pentafsiran kes Pedra Branca/Pulau Batu Puteh,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pada 3 Feb 2017, kerajaan Malaysia telah memfailkan permohonan bagi semakan terhadap keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 23 Mei 2008 yang memutuskan bahawa Singapura mempunyai hak kedaulatan terhadap Pulau Batu Puteh manakala Malaysia mempunyai hak kedaulatan terhadap Terumbu Karang Tengah.

Malaysia memfailkan permohonan semakan itu bersandarkan tiga dokumen yang baru didedahkan oleh United Kingdom.

Dokumen terbabit merupakan surat-menyurat dalaman pihak berkuasa tanah jajahan Singapura pada 1958, laporan insiden yang difailkan pada 1958 oleh pegawai tentera laut British dan peta berserta catatan mengenai operasi tentera laut dari tahun-tahun 1960-an.

Pada 16 Feb 2017, Mohamed Apandi yang merupakan Peguam Negara ketika itu berkata beliau akan mengetuai pasukan pakar yang mengendalikan semakan itu di ICJ, di Hague, Belanda.

Bagaimanapun pada 2018, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) di bawah kepemimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menarik balik permohonan semakan tersebut sebelum kes itu dijadualkan didengar pada 11 Jun 2018 di ICJ.

Pada 28 Mei lepas, seorang individu Mohd Hatta Sanuri, 45, memfailkan saman di Mahkamah Tinggi di sini terhadap Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia bagi menuntut penjelasan bertulis berhubung penarikan balik permohonan semakan itu.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

444
Kongsi :
Previous post “Rampasan kuasa” Idris satu gerakan terancang – sumber
Next post ‘Kenapa saya dipersalahkan?’ – Ab Rauf
Ubah saiz-+=