“Rampasan kuasa” Idris satu gerakan terancang – sumber

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

TANGGA BATU 9 Okt. – Cubaan “rampasan kuasa” oleh bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang Datuk Seri Utama Idris Haron merupakan satu gerakan kotor yang telah lama dirancang, menurut sumber-sumber parti UMNO.

Usaha sebelum ini adalah apabila beliau mahu menggunakan sidang Dewan Undangan Negeri bulan lalu untuk membawa usul tidak percaya kepada kepemimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Bagaimanapun, komplot beliau gagal setelah penyokong No.1 beliau, ADUN Pantai Kundor Datuk Nor Azman Hassan, tidak dapat hadir secara fizikal di sidang DUN kerana dijangkiti penyakit COVID-19.

Dua lagi penyokong beliau bagaimanapun hadir, tetapi Idris pada masa itu tidak mempunyai jumlah kerusi yang cukup untuk mencapai misi beliau.

“Kita dah bau benda ini,” kata sumber itu. “Ada gerakan yang dirancang.”

Sumber itu berkata Idris, sebagai “coup leader”, kemudian secara sulit membuat tawaran kepada kepimpinan Pakatan Harapan (PH) untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) melalui akuan sumpah (SD) oleh semua 11 ADUN PH dan 4 ADUN dalam pasukan Idris.

Menurut perancangan beliau, “rampasan kuasa” tersebut sepatutnya berlaku pada 30 September lalu.

Bagaimanapun, beliau meletakkan syarat utama, iaitu beliau mesti dilantik menjadi ketua menteri di bawah kerajaan PH dan PH Plus.

Tetapi DAP dengan keras menolak syarat tersebut dan sebaliknya mahu jawatan ketua menteri diambil alih oleh Adly Zahari, yang juga ketua menteri semasa pentadbiran PH.

Serangan Idris terhadap Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Sulaiman sebenarnya untuk mengalih perhatian pengundi daripada kegagalan beliau untuk mendapat sokongan bulat daripada PH.

Langkah segera Sulaiman untuk menasihati Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam semasa beliau masih memegang jawatan ketua menteri telah juga menggagalkan komplot Idris untuk membentuk kerajaan yang kononnya akan dipimpin oleh beliau.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

416
Kongsi :
Previous post Sulaiman perjelas fakta sebenar M-WEZ yang cuba dikelirukan
Next post Pulau Batu Puteh: Pasukan Petugas Khas diwujudkan semak semula undang-undang
Ubah saiz-+=