Sorting by

×

KEPENTINGAN RAKYAT PERLU ATASI PERBEZAAN PENDIRIAN

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

SERI NEGERI 14 Julai – Semangat Kerajaan Perpaduan perlu terus dipelihara demi kepentingan rakyat meskipun wujud perbezaan pendirian berhubung Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2026 berhubung Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) lantikan yang diluluskan pada Persidangan Kedua, Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas, hari ini.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, pelantikan Adun Pakatan Harapan (PH) dalam pentadbiran Kerajaan Negeri sebelum ini dibuat atas semangat Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan.

Menurutnya, sepanjang hampir empat tahun segala urusan pentadbiran dilaksanakan secara bersama tanpa sebarang masalah yang menjejaskan perjalanan Kerajaan Negeri.

“Selepas Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dilantik sebagai Ketua Menteri, beliau mengangkat semangat Kerajaan Perpaduan dengan melantik seorang Adun PH sebagai Exco Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Persidangan Kedua, Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Razak berkata Kerajaan Negeri yang ditubuhkan hasil mandat Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2021 akan meneruskan agenda pembangunan negeri seperti dirancang.

Katanya, pengumuman keluar daripada Kerajaan Melaka oleh Pengerusi DAP Melaka Khoo Poay Tiong, tidak menjejaskan pelaksanaan program telah dirancang termasuk pembangunan sektor pelancongan.

“Saya tidak nampak ia menjadi satu kekangan atau halangan untuk kita meneruskan agenda Kerajaan Negeri khususnya dalam sektor pelancongan kerana gerak kerja yang telah disusun akan terus berjalan seperti dirancang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

167
Kongsi :
Previous post MELAKA PERGIAT USAHA MERAPATKAN JURANG PENDIDIKAN
Next post ADUN LANTIKAN PERKUKUH KETERANGKUMAN DUN MELAKA