
MELAKA PERGIAT USAHA MERAPATKAN JURANG PENDIDIKAN
SERI NEGERI 14 Julai – Jurang pendidikan antara sekolah bandar dan luar bandar di Melaka semakin mengecil hasil pelbagai inisiatif dilaksanakan dalam memastikan setiap murid menerima akses pendidikan berkualiti tanpa mengira lokasi sekolah.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, pencapaian itu didorong oleh usaha berterusan Jabatan Pendidikan Negeri Melaka bersama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam memperkasa prasarana, pendigitalan pendidikan serta kebajikan murid.
“Bagaimanapun, beberapa cabaran masih perlu ditangani terutama membabitkan kemudahan fizikal, capaian internet, penggunaan teknologi digital dan peluang penyertaan murid dalam program berimpak tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Adly Zahari (PH-Bukit Katil) mengenai kemudahan dan kualiti pendidikan yang disediakan bagi sekolah bandar dan luar bandar pada Persidangan Kedua, Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas di Seri Negeri, hari ini.
Rahmad berkata, bagi memastikan tiada murid tercicir daripada menikmati kemudahan pendidikan berkualiti, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang melaksanakan pelbagai projek pembangunan dan naik taraf sekolah secara berperingkat di seluruh negeri.
Katanya, antara projek telah disiapkan ialah pembinaan semula kantin Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang Empat di Alor Gajah bernilai RM2.3 juta, bangunan daif di SK Sebatu, Jasin bernilai RM9 juta serta bangunan baharu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) On Lok, Jasin bernilai RM1.8 juta.
“Selain itu, beberapa projek lain sedang giat dilaksanakan termasuk pembinaan semula bangunan daif di Kampung Tengah, Alor Gajah yang kini mencapai 90 peratus kemajuan, pembinaan semula prasekolah di SJKC Chabau serta projek Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di SK Tun Syed Ahmad Shahabudin dan SMK Klebang Besar.
“Pada masa sama, beberapa projek berskala besar di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) termasuk pembangunan di SK Othman Syawal, SMK Ghafar Baba dan SMK Tinggi Perempuan, kini berada pada peringkat reka bentuk,” katanya.
Jelasnya, selain memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur, kerajaan turut memperluaskan akses internet dan teknologi digital bagi menyokong pembelajaran abad ke-21.
“Inisiatif ini bagi memastikan pengagihan guru serta sumber pendidikan dilaksanakan secara lebih seimbang mengikut keperluan setiap sekolah.
“Program peningkatan akademik, pembangunan sahsiah dan kokurikulum juga diperkasakan supaya semua murid, sama ada di bandar mahupun luar bandar, memperoleh peluang sama bagi mengembangkan potensi diri,” katanya.
Dalam pada itu, Rahmad berkata murid yang memenuhi syarat turut menerima pelbagai bantuan di bawah KPM, termasuk Rancangan Makanan Tambahan (RMT), Program Susu Sekolah (PSS), Bantuan Makanan Asrama (BMA) dan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) berdasarkan Paras Garis Kemiskinan (PGK) yang ditetapkan.
“Usaha ini bagi memastikan tiada murid tercicir daripada menikmati pendidikan berkualiti, sekali gus melahirkan generasi berdaya saing dan mampu menyumbang kepada pembangunan negeri pada masa hadapan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


