Sorting by

×

PONTENG SEKOLAH DI MELAKA TERUS MENURUN

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

SERI NEGERI 14 Julai – Kes ponteng sekolah di Melaka menunjukkan penurunan bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini hasil pelbagai langkah intervensi yang dilaksanakan secara bersepadu oleh Jabatan Pendidikan NegeriMelaka bersama pelbagai agensi.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata biarpun statistik menunjukkan perkembangan positif, isu ponteng sekolah masih dipandang serius kerana ia boleh memberi kesan besar sekiranya tidak ditangani secara menyeluruh.

Menurutnya, berdasarkan rekod Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui Jabatan Pendidikan Negeri Melaka sehingga 30 Jun 2026, jumlah murid tidak hadir sekolah menurun di ketiga-tiga daerah berbanding tempoh sama tahun lalu.

Katanya, di Alor Gajah jumlah murid tidak hadir berkurangan daripada 318 kes pada 2025 kepada 129 kes tahun ini, diikuti Jasin daripada 202 kepada 109 kes, manakala Melaka Tengah mencatat penurunan daripada 584 kepada 368 kes.

“Walaupun berlaku penurunan, isu ponteng sekolah tidak boleh dipandang ringan kerana murid yang kerap ponteng berisiko mengalami keciciran pendidikan, pencapaian akademik yang rendah, kehilangan peluang melanjutkan pelajaran serta kemahiran pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Adly Zahari (PH-Bukit Katil) mengenai usaha menangani isu ponteng sekolah pada Persidangan Kedua, Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas di Dewah Undangan Negeri, di sini, hari ini.

Rahmad berkata, bagi memastikan penurunan itu dapat dikekalkan, Jabatan Pendidikan Negeri Melaka sentiasa bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), ibu bapa serta komuniti menerusi pelbagai pendekatan.

“Antara inisiatif dilaksanakan ialah penganjuran Konvensyen Khas Pendidikan sebagai usaha Kerajaan Negeri menangani kes salah laku dan disiplin murid.

“Selain melaksanakan pengesanan awal serta intervensi segera terhadap murid yang menunjukkan tanda-tanda ponteng melalui Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM), rekod kehadiran dan sesi kaunseling.

“Kerjasama erat antara sekolah, ibu bapa dan komuniti juga terus diperkukuh bagi memastikan setiap kes ponteng dapat ditangani secara menyeluruh dan berkesan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

298
Kongsi :
Previous post KERAJAAN NEGERI TUNAI AKUJANJI LULUS USUL ADUN LANTIKAN
Next post MELAKA PERGIAT USAHA MERAPATKAN JURANG PENDIDIKAN