Keputusan kes rasuah Abd Latif Bandi ditunda 7 Ogos

JOHOR BAHRU, 26 Jun – Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menangguhkan keputusan kes dihadapi bekas Exco Johor Datuk Abd Latif Bandi dan anak lelakinya serta seorang perunding hartanah yang menghadapi 37 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM30 juta ke 7 Ogos ini.

Hakim Kamarudin Kamsun dijadualkan menyampaikan keputusan di akhir kes pembelaan hari ini, bagaimanapun beliau berkata masih terdapat beberapa hujahan daripada pihak-pihak terbabit yang belum diterima.

“Masih terdapat beberapa hujahan yang belum dibuat dan saya perlu mendengar hujahan terbabit sebelum membuat keputusan.

“Maka, saya tidak boleh membuat keputusan pada hari ini dan keputusan akan ditetapkan ke satu tarikh baharu,” katanya.

Peguam Datuk Salehuddin Saidin yang mewakili Abd Latif, 56, dan anaknya, Ahmad Fauzan Hatim, 30, kemudiannya memohon mahkamah untuk mendengar hujahan daripada pihak pembelaan.

Prosiding turut mendengar hujahan daripada pihak pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pengarah I Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin bersama barisan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib dan Mahadi Abdul Jumaat.

Selain Salehuddin, Abd Latif dan Ahmad Fauzan turut diwakili Datuk Hasnal Rezua Merican manakala perunding hartanah Amir Shariffuddin Abd Raub, 49, diwakili Khairulazwad Sariman.

Pada 14 Jun 2017, Abd Latif, Ahmad Fauzan dan Amir Shariffuddin didakwa atas 33 pertuduhan rasuah dan empat pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram berjumlah RM35.7 juta dan masing-masing mengaku tidak bersalah.

Kamarudin pada 21 April 2019 melepas dan membebaskan ketiga-tiga mereka selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

Bagaimanapun, pada 7 November 2021, Mahkamah Tinggi mengarahkan bekas Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri itu dengan dua yang lain terbabit untuk membela diri selepas Hakim Datuk Abu Bakar Katar memutuskan Mahkamah Sesyen terkhilaf dalam keputusannya itu.

Ketiga-tiga mereka menghadapi pertuduhan membabitkan rasuah mengikut Seksyen 28 (1) (C) Akta SPRM 2009 yang dibaca bersama Seksyen 16(a)(B) akta sama.

Mereka turut didakwa mengikut Seksyen 32(8)(c) serta Seksyen 89 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

6

Share and Enjoy !

Shares
Previous post PPPM main peranan menjadi warga dunia bertanggungjawab
Next post MDDNM sumbang RM2,000 kepada mangsa kebakaran