Kerajaan komited bina titik persamaan dengan ADUN pembangkang

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

AYER KEROH 24 Dis. – Peruntukan sebanyak RM60,000 kepada 11 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang secara ‘one-off’ membuktikan keprihatinan kerajaan negeri terhadap denyut nadi rakyat tanpa mengira fahaman parti politik.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali berkata, peruntukan sebanyak RM5,000 sebulan dalam tempoh setahun itu diumumkannya menerusi sesi penggulungan Belanjawan 2021 pada 10 Disember lalu.

Katanya, meskipun jumlah itu tidak terlalu besar, namun jumlah itu meningkat berbanding RM3,000 sebulan yang diperolehi sebelum ini.

“Sebelum itu, ketika sesi perbahasan Belanjawan 2021, beberapa ADUN bukan kerajaan telah membangkitkan isu peruntukan tersebut.

“Sebagai kerajaan negeri yang sentiasa bersedia mendengar denyut nadi rakyat serta mengambil berat akan keluh-kesah rakyat, termasuk mereka yang telah dipilih sebagai wakil rakyat, maka peruntukan tersebut telah diberikan.

“Pendek kata, Kerajaan Negeri Melaka bukan sahaja membantu golongan rakyat, malah wakil kepada rakyat juga kita bantu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Bicara Ketua Menteri menerusi temubual bersama Melakafm melalui panggilan telefon di pejabatnya, hari ini.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata kerajaan negeri akan terus membina titik persamaan dengan wakil rakyat bukan kerajaan itu bagi memastikan keperluan rakyat diutamakan.

Menyifatkan ADUN pembangkang itu sebahagian daripada rakan strategik kerajaan negeri, beliau percaya kesemua mereka akan menggunakannya dengan sebaik-baiknya.

“Saya percaya 11 ADUN bukan kerajaan itu akan menggunakan peruntukan yang diberikan itu dengan sebaik- baiknya, untuk membantu rakyat di kawasan masing-masing,” katanya.

Pada 10 Disember lalu, menerusi ucapan penggulungan beliau dalam Belanjawan 2021, beliau mengharapkan jumlah yang diberikan itu tidak dibandingkan dengan negeri lain kerana Melaka adalah negeri kecil berbanding negeri lain yang mempunyai kewangan lebih kukuh.

Views:

722
Kongsi :
Previous post Ketua Menteri dan pengamal media bergaya bak zaman Kesultanan Melayu Melaka
Next post ‘Ah Long’ sekali lagi didakwa
Ubah saiz-+=