Kerajaan Negeri Melaka hulur sumbangan bantu 62 mangsa ribut
TANJUNG BIDARA 12 Ogos – Kerajaan Negeri Melaka, hari ini, menghulurkan sumbangan kepada 62 mangsa ribut di tiga kampung, di sini, bagi membantu meringankan beban mereka.
Sumbangan sebanyak RM500 dihulurkan kerajaan negeri kepada setiap mangsa, manakala RM300 disumbangkan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) melalui Pejabat Pembangunan Negeri Melaka.
Sumbangan tersebut disampaikan oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam dan turut dihadiri Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di Dewan Japerun Tanjung Bidara, di sini.
Salah seorang penerima Borhan Baharom, 58, bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana sudi membantu meringankan bebannya menggantikan 16 bumbung yang diterbangkan angin.
“Ketika kejadian saya tidur kerana kerja malam dan saya dikejutkan oleh anak perempuan berusia 30 tahun yang mengatakan angin ribut semakin dekat dengan rumah kami di Kampung Pasir Gembur.
“Sejurus bangun, kami dengar bumbung diangkat dan dalam sekelip mata sudah melayang tetapi saya bersyukur kerana saya, anak dan isteri tidak cedera,” katanya.
Zaiton Baharom, 64, turut meluahkan rasa syukur dengan sumbangan oleh kerajaan negeri yang dapat membantunya membaiki kerosakan rumah yang didiaminya.
“Alhamdulillah, walaupun wang itu tidak membolehkan saya mendapatkan zink untuk semua tempat yang sudah terlopong, sedikit sebanyak ia membantu meringankan beban saya,” katanya.
Dalam kejadian jam 9.45 pagi kelmarin, sebanyak 58 rumah di Kampung Pasir Gembur, Kampung Ayer Hitam Pantai dan Ayer Hitam Darat serta Kampung Balik Batu rosak akibat dipukul ribut. Namun, tiada kehilangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.