Sorting by

×

Tingkat jumlah pemilikan rumah PPR kepada golongan OKU

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

KUALA LUMPUR, 12 Ogos – Presiden Persatuan OKU Sentral Senator Datuk Ras Adiba Radzi memohon pertimbangan kerajaan agar dapat memperuntukkan jumlah pemilikan rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) yang lebih besar kepada golongan orang kurang upaya (OKU).

Beliau berkata penambahan itu dilihat signifikan berdasarkan keperluan penduduk OKU di negara ini yang jumlahnya sudah mencapai 600,000 orang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Kalau ikutkan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) sebanyak 15 peratus daripada populasi sesebuah negara itu adalah OKU, jadi kalau ikut kiraan populasi negara kita, sebenarnya terdapat lebih kurang 4.9 juta OKU di Malaysia namun yang telah mendaftar adalah 600,000 orang.

Jadi ramai yang memerlukan rumah sebab itu saya memohon pertimbangan daripada pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) agar dapat tingkatkan jumlah itu,” katanya selepas pelancaran program Kinabalu OKU Challenge 2022 Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib di Dewan Negara semalam yang memaklumkan sebanyak 982 daripada 98,196 unit rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) disediakan untuk pemilikan OKU dengan pengisian terkini adalah sebanyak 809 unit (82 peratus) dan berbaki 173 unit (18 peratus).

Menurut Ismail, jumlah unit rumah yang disediakan itu adalah selaras dengar dasar kementerian yang menetapkan satu peratus daripada keseluruhan unit PPR diperuntukkan kepada golongan OKU bagi memastikan mereka memiliki rumah.

Ras Adiba yang juga Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) berkata selain turut memohon kerajaan negeri agar menyediakan rumah kos rendah kepada OKU, beliau juga berharap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dapat memperkasakan lagi fasiliti berkaitan golongan OKU di kawasan-kawasan perumahan dan sekitarnya. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1266
Kongsi :
Previous post Kerajaan Negeri Melaka hulur sumbangan bantu 62 mangsa ribut
Next post Ibu tunggal didenda RM8,000 buat hantaran jelik majlis solat hajat COVID-19
Ubah saiz-+=