Kerajaan utamakan pembangunan digital, komited wujud masyarakat celik teknologi – PM

BERA, 22 Okt – Kerajaan sentiasa mengutamakan pembangunan digital dan kekal komited mewujudkan masyarakat celik teknologi terutamanya ketika negara menempuh era Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) dan menuju ke arah negara berpendapatan tinggi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata literasi digital yang dimiliki hari ini mewakili sebahagian ilmu yang terlalu kecil berbanding apa yang bakal hadir pada masa hadapan, yang akan menyaksikan pasaran kerja memerlukan individu berkemahiran tinggi, kreatif dan mempunyai pemikiran kritis.

“Ini kerana dalam Revolusi Industri 4.0, segala urusan harian manusia akan banyak bergantung kepada teknologi terkini seperti automasi robotik yang dicipta khusus untuk mengoptimumkan keperluan dan keselesaan manusia.

“Penggunaan teknologi muktahir ini membawa cabaran baharu kepada semua sektor dalam negara ini yang memerlukan mereka berubah seiring dengan transformasi digital untuk kekal berdaya saing,” katanya.

Ismail Sabri berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan dan Penyerahan Komputer #thetaCares di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Tabung Haji Datuk Seri Amrin Awaluddin dan CEO Kumpulan Theta Edge Berhad Nuraslina Zainal Abidin.
Bagi memastikan literasi digital berjaya, Ismail Sabri berkata kerajan telah melaksanakan pelbagai inisiatif dan bantuan termasuk kepada golongan B40 agar tiada pihak yang tertinggal dalam arus pembangunan teknologi.

Sebagai contoh, Ismail Sabri merujuk kepada pelaksanaan program PerantiSiswa, iaitu pemberian tablet berkualiti tinggi kepada kira-kira 400,000 pelajar yang layak bagi memastikan pelajar golongan B40 tidak ketinggalan dalam kaedah pembelajaran pada pasca pandemik.

Selain itu, kerajaan juga memperkenalkan pelbagai inisiatif bagi merapatkan jurang digital dalam kalangan belia serta jurang antara penduduk bandar dengan luar bandar, dengan Ismail Sabri memberi jaminan agenda literasi digital mampu ditingkatkan jika kerajaan terus menerajui pimpinan negara selepas ini.

Antara inisiatif kepada belia pula, Ismail Sabri mengambil contoh inisiatif e-Pemula sebanyak RM200 kepada seramai dua juta belia dan pelajar sepenuh masa serta RM100 kepada kumpulan M40 manakala pelaksanaan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 2 akan menyediakan 100 peratus liputan Internet di kawasan berpenduduk.

“Pelaksanaan Projek Internet Luar Bandar dengan mengoptimumkan jaringan kabel elektrik pula menyediakan kemudahan jalur lebar berkelajuan tinggi kepada lebih 60,000 penduduk luar bandar selain Digital Nasional Berhad (DNB) akan memperluas rangkaian 5G di seluruh negara, membolehkan rakyat bakal menikmati kelajuan Internet lebih pantas dan capaian Internet 5G yang lebih murah,” katanya.

Menyentuh secara spesifik di Bera, penyandang kerusi Parlimen Bera itu berkata setakat suku ketiga tahun ini, 95.9 peratus kawasan berpenduduk telah mendapat liputan 4G, dengan perkhidmatan jalur lebar disediakan oleh syarikat telekomunikasi Maxis dan Telekom Malaysia (TM) selain enam syarikat menyediakan perkhidmatan selular iautu Celcom, Digi, Maxis, U Mobile dan Unifi Mobile.

“Bera juga mendapat liputan siaran myFreeview, iaitu siaran televisyen digital percuma Malaysia yang menawarkan saluran televisyen dan radio popular tanpa sebarang bayaran atau yuran langganan,” kata Ismail Sabri.

Sementara itu, Theta Edge Berhad yang merupakan syarikat bersekutu Lembaga Tabung Haji menerusi kenyataan media memaklumkan sebanyak 150 unit komputer disumbangkan hari ini, kepada penerima antaranya Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah, masjid dan Tabika KEMAS sekitar Bera.

Sumbangan di bawah program Pendigitalan Komuniti B40 itu melibatkan komputer yang dilengkapi dengan pemasangan Windows 10, LibreOffice, webcam dan penyediaan Wi-fi adapter, adalah selari dengan usaha memperkasa teknologi dan melahirkan lebih ramai komuniti celik digital. -BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

440
Previous post Pelajar IPT dapat pelepasan lima hari untuk pulang mengundi
Next post BN yakin tawan semula Parlimen Alor Gajah