mas ermiyanti

Kertas dasar jenayah hendap dijangka dibentang di kabinet Disember ini

KUALA LUMPUR 3 Nov – Kertas dasar berserta cadangan pindaan undang-undang mengenai usaha menjenayahkan menghendap atau ‘stalking’ dijangka dibentangkan kepada Jemaah Menteri, Disember ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata pindaan tersebut akan dibentangkan di Parlimen selepas mendapat persetujuan Jemaah Menteri.

“Kerajaan memberikan komitmen agar menghendap dijadikan sebagai satu jenayah di negara ini. Usaha untuk menjadikan menghendap sebagai satu jenayah telah bermula sejak 2019 setelah sebuah Jawatankuasa Anti-Stalking ditubuhkan.

“Sejak awal 2020, draf pindaan undang-undang (pindaan kepada Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah) telahpun disediakan Jawatankuasa Anti-Stalking yang diterajui Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) dengan penglibatan agensi-agensi kerajaan lain dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, sehingga ia dibentangkan kepada Jemaah Menteri, Mas Ermieyati berhasrat untuk mengadakan pertemuan dengan Ahli Parlimen, agensi kerajaan dan NGO berkaitan untuk mendidik orang ramai supaya mereka lebih memahami kesan perbuatan itu kepada masyarakat.

Beliau berkata satu mesyuarat yang diurusetiakan oleh BHEUU, Jabatan Perdana Menteri telah diadakan semalam di Parlimen bagi membincangkan status kemas kini mengenai usaha menjenayahkan menghendap.

Ia dihadiri agensi kerajaan termasuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Peguam Negara, Majlis Peguam Malaysia dan wakil dari NGO termasuk Women’s Aid Organisation (WAO) dan ahli akademik.

“Dalam mesyuarat ini, tiga pemandiri menghendap berkongsi pengalaman mereka sebagai mangsa yang masih tidak diberikan perlindungan disebabkan jurang yang wujud dalam undang-undang sedia ada.

“WAO juga menyerahkan memorandum yang ditandatangani 52 kumpulan dan petisyen yang disokong lebih 8,500 orang setakat ini, yang menggesa agar kerajaan segera menjenayahkan perbuatan menghendap,” katanya.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

27
ismail sabri3 Previous post Bajet 2022 utamakan kebajikan rakyat – Ismail Sabri
WhatsApp Image 2021-10-24 at 2.18.39 PM Next post Mahkamah benar Najib pinda tarikh pelepasan, pemulangan pasport ke Singapura