Mahkamah benar Najib pinda tarikh pelepasan, pemulangan pasport ke Singapura

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

PUTRAJAYA 3 Nov – Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk meminda tarikh pelepasan dan pemulangan pasportnya ke Singapura selepas mendapati bekas perdana menteri itu telah mengemukakan alasan munasabah dalam permohonannya.

Tiga panel hakim diketuai Hakim Datuk Seri Kamaludin Md Said berkata mahkamah tidak bertindak sewenang-wenangnya untuk meluluskan permohonan itu sekiranya tiada alasan munasabah diberikan.

“Mahkamah telah membaca permohonan pemohon (Najib) dan afidavit sokongan. Saya percaya alasan diberikan pemohon adalah munasabah dan disebabkan itu, pihak pendakwaan tidak membantah. Jika tiada alasan munasabah, mahkamah akan disalah tanggap dan dilihat sewang-wenangnya memberi kebenaran.

“Saya juga mengingatkan bahawa tiada alasan kali ketiga diberikan oleh pemohon. Kali pertama, alasan untuk melawat anak perempuan bersalin di Singapura dan hari ini, permohonan kali kedua untuk membantu Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

“Namun, setelah mempertimbangkan alasan munasabah diberikan, mahkamah membenarkan permohonan pemohon dan pasportnya perlu dikembalikan kepada mahkamah pada atau sebelum 6 Dis ini,” kata Kamaludin yang bersidang bersama Hakim Datuk Nordin Hassan dan Datuk Hashim Hamzah.

Najib, 68, memohon untuk meminda tarikh bagi pelepasan dan pemulangan pasportnya kepada mahkamah dari 20 Okt sehingga 22 Nov kepada 25 Okt sehingga 6 Dis ini bagi melawat anak perempuannya Nooryana Najwa yang kini berada di Singapura dan melahirkan anak kedua, dua hari lepas (Isnin).

Ahli Parlimen Pekan itu dalam afidavit sokongannya berkata beliau juga diamanahkan untuk membantu jentera UMNO menghadapi PRN Melaka pada 20 Nov ini memandangkan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada masa itu, akan berangkat ke Jerman untuk mendapatkan rawatan tulang belakang.

Terdahulu, peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee memberitahu panel, jadual perjalanan Najib ke Singapura terpaksa diubah kerana beliau diamanahkan dengan tanggungjawab untuk memastikan parti bertindak dengan teratur dan sewajarnya ketika ketiadaan Ahmad Zahid ketika PRN Melaka.

Katanya, permohonan untuk meminda tarikh itu sudah dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mendengar perbicaraan kes jenayah dihadapinya.

Timbalan Pendakwa Raya Shafiq Hasim tidak membantah permohonan itu.

Pada 28 Julai 2020, Najib didapati bersalah terhadap tujuh pertuduhan melibatkan pecah amanah jenayah, pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kuasa melibatkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd dan kes itu kini dalam peringkat rayuan di Mahkamah Rayuan.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

396
Kongsi :
Previous post Kertas dasar jenayah hendap dijangka dibentang di kabinet Disember ini
Next post BN dijangka umum calon PRN Melaka Sabtu ini
Ubah saiz-+=