Kes buli MRSM: Empat pelajar lagi ditahan
IPOH, 11 Dis – Polis menahan empat lagi pelajar bagi membantu siasatan kes buli didakwa berlaku di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar, seperti yang tular dalam media sosial semalam.
Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata seorang pelajar berusia 15 tahun dan tiga orang berusia 13 tahun itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar hari ini.
Katanya, ia menjadikan keseluruhan tangkapan seramai 10 orang setakat ini selepas enam pelajar ditahan semalam.
“Enam daripadanya dibebaskan petang ini manakala empat lagi akan dibebaskan esok selepas siasatan selesai,” katanya.
Tindakan beberapa remaja yang dipercayai pelajar asrama menumbuk dan menendang seorang pelajar lain secara beramai-ramai, tular dalam media sosial menerusi beberapa video berdurasi 13 hingga 30 saat, sehingga menerima kecaman orang ramai.
Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada kira-kira pukul 1 hingga 2 pagi pada 9 Dis melibatkan seorang mangsa yang juga berusia 13 tahun.
Susulan itu, pihak polis memanggil kesemua pelajar yang terlibat dan pemilik akaun media sosial yang menularkan video berkenaan bagi memberi keterangan untuk membantu siasatan kes di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.