Kes demam campak meningkat, Melaka beri imunisasi tambahan

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

AYER KEROH 2 Mac – Susulan berlaku peningkatan kes demam campak (Measles) di negeri ini, Jabatan Kesihatan Negeri Melaka telah menjalankan aktiviti imunisasi tambahan bermula 1 Mac lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri Melaka Datuk Dr. Rusdi Abdul Rahman berkata, pelaksanaan imunisasi tambahan itu bertujuan bagi mengurangkan jangkitan penyakit tersebut dalam kalangan kanak-kanak dan seterusnya mencapai imuniti kelompok.

Katanya, berdasarkan data tahun lalu, kes demam campak di negeri ini meningkat 175 peratus apabila merekodkan 22 kes berbanding hanya lapan kes pada tahun 2021.

“Peningkatan ketara direkodkan di daerah Melaka Tengah dengan mencatat 15 kes pada 2022 berbanding hanya empat kes tahun sebelumnya.

“Sehubungan itu Pejabat Kesihatan Daerah Melaka Tengah akan menjalankan aktiviti imunisasi tambahan Measles di lokaliti berisiko bagi menyekat penularan jangkitan penyakit ini dalam komuniti.

“Pemilihan lokaliti atau kawasan untuk pelaksanaan aktiviti imunisasi tambahan adalah menerusi penilaian risiko yang di jalankan oleh Pejabat Kesihatan Daerah berdasarkan bilangan kes yang dilaporkan, pencapaian liputan imunisasi dan penduduk yang berisiko tinggi di lokasi tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Dr. Rusdi, pada peringkat permulaan, lokaliti Bukit Rambai dipilih sebagai lokasi pertama pelaksanaan imunisasi tambahan demam campak.

Katanya, menerusi program itu, petugas kesihatan akan memberikan suntikan imunisasi tambahan dari rumah ke rumah kepada bayi dan kanak-kanak berumur sembilan bulan hingga 7 tahun bermula 1 hingga 8 Mac bermula jam 8 pagi hingga 5 petang.

“Selain itu, petugas juga akan mengadakan bancian dan hebahan mengenai aktiviti imunisasi tambahan Measles, selain memberikan nasihat serta perbincangan kumpulan kecil kepada penduduk berkenaan mengenai penyakit demam campak,” katanya.

Beliau berkata, selain daerah Melaka Tengah, aktiviti imunisasi tambahan Measles juga akan dijalankan di daerah Jasin dan Alor Gajah berdasarkan penilaian risiko yang dijalankan dari semasa ke semasa.

“Jabatan Kesihatan menasihatkan penduduk sekitar dan masyarakat setempat memberi kerjasama kepada pasukan kesihatan yang bertugas bagi memastikan kelancaran pelaksanaan program ini,” tambahnya.

Sebarang pertanyaan boleh hubungi bilik gerakan Pejabat Kesihatan Daerah iaitu Melaka Tengah (013-2077332 / 06-284080); Jasin (06-5293908 sambungan 206 atau 135 / 013-7698713) dan Alor Gajah (06-3842533 / 06-3843012).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1584
Kongsi :
Previous post PDRM siasat skim pelaburan Sencapital, babitkan kerugian lebih RM6 juta
Next post Karnival Kerjaya Melaka tawar 5,000 peluang pekerjaan 11, 12 Mac ini
Ubah saiz-+=