PDRM siasat skim pelaburan Sencapital, babitkan kerugian lebih RM6 juta

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

KUALA LUMPUR, 2 Mac – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat skim pelaburan ‘Sencapital’ yang dikesan menjalankan kegiatan penipuan di seluruh negara membabitkan jumlah kerugian dialami mangsa sebanyak RM6.7 juta.

Setiausaha PDRM Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata skim berkenaan yang aktif sejak hujung tahun lepas menawarkan skim pelaburan berasaskan pembelian saham dan mereka yang berminat akan dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp dikenali ‘JP Morgan Business School’.

Beliau berkata pelabur kemudian perlu mendaftar dan membeli saham yang ditawarkan melalui laman sesawang http://sencapital.xyz/.

“Bagi tujuan pembayaran, pelabur diminta membuat pindahan wang ke beberapa akaun syarikat yang berbeza.

“Bagaimanapun, bermula bulan lepas, laman sesawang Sencapital tidak lagi aktif dan pelabur tidak dapat mengeluarkan wang yang dilaburkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Noorsiah berkata setakat ini pihaknya telah menerima 42 laporan polis dan menggesa mangsa yang belum membuat laporan tampil berbuat demikian bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“PDRM mengingatkan orang ramai sentiasa berwaspada dan menyemak dengan terperinci sebelum menyertai sebarang skim pelaburan atau simpanan yang menjanjikan keuntungan yang terlalu lumayan.

“Dapatkan maklumat lanjut dari sumber rasmi seperti Semak Mule, Alert List oleh Bank Negara Malaysia dan Security Commission sebelum memutuskan untuk menyertai skim pelaburan yang meragukan,” katanya.

— BERNAMA

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1194
Kongsi :
Previous post Banjir: Mangsa di Alor Gajah meningkat, Jasin menurun
Next post Kes demam campak meningkat, Melaka beri imunisasi tambahan
Ubah saiz-+=