Kes Najib babit dana 1MDB ditangguh, perbicaraan secara hibrid tidak dibenarkan

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

KUALA LUMPUR, 14 Dis – Perbicaraan kes Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi di sini ditangguhkan sekali lagi kerana status MySejahteranya masih mengklasifikasikannya sebagai individu dalam perintah pengawasan dan pemerhatian (PUS).

Terdahulu, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah menolak permohonan pihak pendakwaan untuk menjalankan perbicaraan secara hibrid, dengan Najib dan peguamnya menyertai prosiding melalui persidangan video.

“Setelah mendengar hujahan kedua-dua pihak dan menimbangkan perkara itu, saya memutuskan untuk tidak membenarkan prosiding hibrid buat masa ini tetapi bukan untuk masa depan,” kata hakim yang kemudiannya membenarkan prosiding ditangguhkan ke 16 Dis.

Semalam, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib memohon mahkamah membenarkan prosiding hibrid mengikut Seksyen 15A Akta Mahkamah Kehakiman (Pindaan) 2020, yang membolehkan mahkamah menjalankan prosiding jarak jauh dengan Najib, yang dilarang daripada memasuki kompleks mahkamah kerana status MySejahteranya.

Seksyen itu membolehkan Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi menjalankan prosiding melalui pautan video atau televisyen secara langsung atau sebarang cara komunikasi elektronik lain.

Pihak pembelaan dijadualkan menyoal balas saksi pendakwaan ke-13, bekas Ketua Pegawai Kewangan 1MDB Azmi Tahir apabila perbicaraan bersambung pada Khamis.

Najib, 68, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

637
Kongsi :
Previous post Kesal, dukacita kejadian buli di sekolah – Tengku Hassanal
Next post Sulaiman, EXCO dan ADUN BN Melaka berkampung di Johor sertai bengkel kepimpinan
Ubah saiz-+=