Kira-kira 100 pokok tumbang di empat kawasan ribut di Ipoh

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

IPOH, 1 Feb – Kira-kira 100 batang pokok tumbang di empat kawasan di Taman Desa Seri Chepor, Kampung Tawas, Taman Tasek Damai dan Kampung Seri Klebang Tambahan Jaya di sini, yang terjejas akibat kejadian ribut dan puting beliung Ahad lepas.

Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin berkata Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menerima banyak laporan mengenai insiden pokok tumbang yang berlaku di kawasan terbabit sejurus selepas kejadian ribut.

“Kita sudah buat keputusan, mana-mana pokok tidak sesuai yang kita sudah tanam akar pokoknya tidak dalam dan bukan akar tunjang – ia akan dicantas, kerana kita bimbang pokok ini kalau akarnya tidak cukup kuat mungkin ia akan tumbang, kalau diletakkan di tepi jalan lagi berisiko kepada kereta yang lalu-lalang.

“Jadi pokok itu kita akan gantikan dengan pokok lain yang lebih sesuai dan selamat,” katanya kepada pemberita selepas lawatan turun padang ke Kampung Tawas dan Taman Tasek Damai serta menyampaikan bantuan 100 bakul makanan kepada penduduk terjejas di sini hari ini.

Sebanyak 219 rumah di empat kawasan berkenaan mengalami kerosakan akibat kejadian ribut dan puting beliung selain kerosakan rumah penduduk dan tiang elektrik, namun tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan.

Sementara itu suasana Tahun Baharu Cina yang disambut masyarakat Tionghua hari ini di Kampung Tawas di sini jelas tidak semeriah seperti tahun sebelumnya.

Kawasan itu hanya kedengaran bunyi tukang rumah membaiki bumbung atau struktur rumah yang rosak akibat insiden ribut dan puting beliung.

Lee Yoon Theian, 70, berkata sambutan Tahun Harimau yang sepatutnya disambut meriah tahun ini bertukar duka, apabila kebanyakan penduduk di sini hanya duduk di rumah sahaja tanpa sebarang sambutan, walaupun persiapan perayaan itu telah dibuat terlebih awal.

“Saya dan isteri tidak pergi ke mana-mana kerana takut barang dalam rumah ini dicuri, majlis makan besar pun tidak ada. Saya terima keadaan ini walaupun sangat sedih,” katanya.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

920
Kongsi :
Previous post Tahun baharu meriah meskipun berbeza agama
Next post PRN Johor: PN muktamad senarai calon minggu depan – Muhyiddin
Ubah saiz-+=