Tahun baharu meriah meskipun berbeza agama

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

AYER KEROH 1 Feb – Sambutan Tahun Baharu Cina bagi bekas atlet badminton orang kurang upaya (OKU) Melaka Teoh Swee Poh, 60, kali ini lebih meriah apabila mereka termasuk ahli keluarga berbeza agama berkumpul dibawah satu bumbung.

Kepulangan adiknya, Muhammad Redzuan Teoh Abdullah yang memeluk Islam sejak 13 tahun lalu dan ahli keluarga lain amat menggembirakan ibu mereka Lee Kim Nio, 84.

Swee Poh berkata, meskipun sambutan dibuat secara sederhana ia amat bermakna kerana sudah hampir tiga tahun mereka sekeluarga tidak berkumpul akibat pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Orang paling gembira adalah ibu, raut wajahnya kelihatan amat ceria kerana dapat melepaskan rindu pada anak-anak, menantu dan cucu.

“Bagi kami hubungan silaturahim dan kekeluargaan amat bernilai meskipun ada yang berbeza agama.

“Kami menyambut baik kelonggaran diberikan kerajaan jika tidak pasti suasana sambutan kali ini hambar seperti ketika PKP dikuatkuasakan,” katanya ketika ditemui dirumahnya di Ayer Keroh Heights, di sini.

Abang sulungnya, Teoh Swee Ann, 61, kini menetap di Sandakan, Sabah berkata, dia terus menempah tiket penerbangan selepas kerajaan mengumumkan kelonggaran bagi sambutan Tahun Baharu Cina kali ini.

“Tiket penerbangan saya tempah sebulan lebih awal, jika lambat khuatir tidak dapat pulang ke kampung dan merasai nikmat berkumpul bersama seluruh ahli keluarga,” katanya.

Sementara itu, isteri Muhammad Redzuan, Nurul Natrah Lukanni Lockman, 35, berkata, layanan dan kemesraan ahli keluarga mentuanya menyebabkan dia tidak kekok untuk meraikan Tahun Baharu Cina bersama-sama.

“Adat masyarat Baba Nyoya dengan Melayu tidak banyak beza, senang untuk saya bawa diri malah ibu mentua banyak memberi tunjuk ajar, keluarga ini menggunakan Bahasa Melayu jadi tak timbul masalah komunikasi.

“Masakan yang dihidangkan seperti ayam masak sambal dan rendang sama seperti menu masyarakat Melayu menjadikan saya selesa meraikan Tahun Baharu Cina bersama-sama mereka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1007
Kongsi :
Previous post Tahun Harimau diharap bawa kemakmuran, kesejahteraan – PM Ismail Sabri
Next post Kira-kira 100 pokok tumbang di empat kawasan ribut di Ipoh
Ubah saiz-+=