
AI JADI ‘RAKAN’ BELAJAR, BUKAN TEMPAT BERGANTUNG
PENGKALAN BATU 27 September – Perkembangan kecerdasan buatan (AI) perlu dimanfaatkan secara bijak dalam pembelajaran bagi membantu pelajar mendapatkan maklumat dan meningkatkan kefahaman, namun penggunaannya tidak seharusnya mewujudkan kebergantungan.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Infant Jesus Convent, S. Sankary, 17, berkata teknologi berkenaan banyak membantu proses pembelajaran, namun pelajar perlu menyemak semula maklumat yang diperoleh sebelum menggunakannya.
Katanya, AI mempunyai manfaat dan risiko tersendiri, justeru pelajar perlu memahami kedua-dua aspek berkenaan sebelum menjadikannya sebagai medium pembelajaran.
“AI ada dua sisi iaitu negatif dan positif. Jadi kita kena lihat dan menilai apa yang positif dan negatif serta perlu bijak menggunakan AI.
“Untuk pembelajaran kita boleh guna AI, tetapi jangan terlalu banyak bergantung kepadanya kerana apa jua sekalipun ilmu yang lebih tepat akan diperoleh daripada guru yang mengajar,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas mengikuti Program Sentuhan Kasih Ketua Menteri MeSRa Pendidikan SPM & STPM 2026 di Manipal University College Malaysia (MUCM) Melaka Campus, di sini, pada Jumaat.
Dalam pada itu, Sankary menyifatkan penganjuran program berkenaan sebagai peluang bermanfaat kepada calon SPM kerana memberi pendedahan berkaitan teknik dan tip menghadapi peperiksaan, selain meningkatkan pengetahuan am serta motivasi pelajar.
Menurutnya, amanat dan pesanan yang disampaikan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh turut memberikan semangat kepada calon SPM untuk membuat persediaan lebih baik bagi menghadapi peperiksaan.
“Saya dapat mengetahui teknik-teknik untuk belajar dan bagaimana hendak mendapat keputusan yang cemerlang dalam SPM. Program ini sangat baik kerana banyak perkara yang boleh diperoleh,” katanya.
Calon SPM itu turut berharap program seumpama itu dapat diteruskan bagi memberi manfaat kepada generasi pelajar akan datang, khususnya menerusi pendedahan dan bimbingan dalam persediaan menghadapi peperiksaan.
“Saya ucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri dan semua pihak yang terlibat menganjurkan program ini kerana ia memberi manfaat yang cukup besar kepada pelajar di negeri ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

