KEMBANGKAN KEMAHIRAN UNTUK JANA PENDAPATAN, TINGKAT EKONOMI KELUARGA – KM

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

DUYONG 27 September – Penguasaan kemahiran hasil pelbagai kursus anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) perlu dikembangkan, sekali gus membantu rakyat menjana pendapatan sampingan untuk keluarga.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pelbagai bidang ditawarkan KEMAS termasuk jahitan, kecantikan, dandanan serta kemahiran lain yang berkait rapat dengan kehidupan seharian masyarakat.

Katanya, kemahiran tersebut tidak seharusnya dilihat sekadar pengetahuan tambahan, sebaliknya boleh dikembangkan sebagai peluang ekonomi.

“Program KEMAS amat baik bagi mengangkat masyarakat untuk beralih kepada satu jurusan kemahiran yang boleh meningkatkan pendapatan keluarga.

“Saya menghargai apa yang diusahakan oleh KEMAS kerana apabila saya menilai segala urusan kehidupan seharian, ia boleh dijadikan satu bidang meningkatkan kemahiran hidup dan juga menambah pendapatan keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mewakili Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi ke Festival Masyarakat KEMAS Melaka di Dewan Serbaguna Semabok Dalam, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer, Ketua Pengarah KEMAS Datuk Mohd Hanafiah Man serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut Ab Rauf berkata, usaha KEMAS itu turut membantu menyediakan masyarakat menghadapi cabaran dunia moden menerusi pembangunan kemahiran yang bersesuaian dengan keperluan semasa.

Tambahnya, KEMAS turut menganjurkan program pendidikan dan keagamaan termasuk kelas untuk golongan muda serta kelas tahfiz di peringkat Tabika.

“Di samping untuk menjadikan masyarakat lebih bersedia menghadapi cabaran dunia moden ini, KEMAS menganjurkan kelas-kelas yang memberikan manfaat kepada anak-anak muda serta kelas tahfiz peringkat Tabika yang telah memberikan kesan yang baik kepada masyarakat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

149
Kongsi :
Previous post YOUTUBE JADI ‘GURU’, NUR SYAZWANI BERSINAR DI PENTAS DEBAT