
YOUTUBE JADI ‘GURU’, NUR SYAZWANI BERSINAR DI PENTAS DEBAT
SERI NEGERI 27 September – Tidak pernah menyangka penyertaan sulungnya dalam pertandingan debat Bahasa Melayu berakhir dengan kejayaan meraih gelaran Pendebat Terbaik Piala Ketua Menteri Melaka 2026.
Itu kejayaan dilakar Nur Syazwani Ahmad Zulkifli, 21, peserta debat yang mewakili Pasukan A Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perempuan Melaka pada Pertandingan Debat Piala YAB Ketua Menteri Melaka 2026 yang berlangsung di Auditorium Seri Negeri, di sini, pada Khamis.
Lebih manis, pasukannya turut muncul juara sulung pertandingan berkenaan, sekali gus membawa pulang hadiah kemenangan RM3,000 dan trofi kemenangan.
Nur Syazwani berkata, penyertaan itu merupakan pengalaman pertamanya menyertai pertandingan debat Bahasa Melayu, sekali gus menjadikan pencapaian tersebut sebagai detik istimewa dalam perjalanan sulungnya di pentas debat.
Menurutnya, persediaan menghadapi pertandingan dilakukan secara kendiri dengan menonton pelbagai video pertandingan debat di YouTube, termasuk membabitkan pasukan dari Institut Pendidikan Guru (IPG) dan institusi pengajian tinggi (IPT).
Katanya, kaedah itu membantunya memahami konsep, teknik dan struktur perdebatan selain meningkatkan keyakinan untuk berhadapan dengan lawan.
“Sejujurnya saya terkejut sangat sebab saya tidak yakin saya boleh dapat Anugerah Pendebat Terbaik. Saya tahu dalam pasukan ada yang lebih bagus daripada saya.
“Apabila nama saya diumumkan, saya agak terkejut sampai saya tidak boleh berdiri, tetapi saya gagahkan juga untuk ke depan menerima piala,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas pertandingan berkenaan.
Nur Syazwani berkata, penyertaannya dalam pertandingan berkenaan turut membuka perspektif baharu kepadanya untuk mengenali dan memahami dengan lebih dekat pelbagai isu berkaitan Melaka.
Walaupun berasal dari Perak, dia berkata, persiapan menghadapi pertandingan itu secara tidak langsung membuatkannya lebih cakna terhadap perkembangan, isu dan perkara yang berlaku di negeri Melaka.
“Bila saya masuk pertandingan Debat Ketua Menteri Melaka, saya lihat banyak lagi perkara yang perlu saya ambil berat tentang Melaka dan banyak perkara yang sebelum ini saya tidak cakna, tetapi sekarang saya sudah ambil cakna,” katanya.
Tambahnya, pengalaman menyertai pertandingan itu turut memberi peluang kepadanya untuk memperluas pengetahuan selain membina keyakinan ketika menyampaikan hujah di hadapan khalayak.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

