SIAPA RAKAN STRATEGIK MELAKA? PERTEMUAN BERMULA ESOK – AB RAUF

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

DUYONG 27 September – Beberapa siri pertemuan akan diadakan bagi menilai calon rakan strategik Barisan Nasional (BN) Melaka sebelum sebarang keputusan mengenai kerjasama politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) dimuktamadkan.

Pengerusi BN Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pertemuan pertama dijadual berlangsung di Kuala Lumpur, esok sebelum perkara itu dibawa ke peringkat seterusnya dan akan diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) BN.

Ab Rauf yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka berkata, penelitian akan dibuat dengan mengambil kira kelebihan, kekurangan serta manfaat sesuatu kerjasama kepada parti.

“Esok ada pertemuan. Saya akan maklumkan selepas pertemuan yang pertama dan kita akan ada beberapa lagi siri pertemuan.

“Urusannya akan diangkat kepada Biro Politik dan diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) BN untuk kita memilih dan menilai kelebihan, kekurangan dan segala apa yang memberikan manfaat kepada parti kita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mewakili Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi ke Festival Masyarakat KEMAS Melaka di Dewan Serbaguna Semabok Dalam, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Bashir dan kenamaan lain.

Menurut Ab Rauf, kajian lebih mendalam akan dilakukan sebelum cadangan berkenaan dibentangkan dalam mesyuarat MT akan datang untuk menentukan rakan strategik parti di Melaka.

“Kita akan membuat kajian yang lebih mendalam dan kita akan bentangkan dalam mesyuarat MT yang akan datang untuk diputuskan siapakah rakan strategik kita di Melaka nanti,” katanya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai jumlah gabungan yang akan hadir pada pertemuan esok, Ab Rauf berkata perkara itu akan dimaklumkan kemudian.

“Itu biar nanti saya beritahu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

186
Kongsi :
Previous post HAMPIR 2,000 TERIMA MANFAAT INISIATIF JUALAN MELAKA SAYANG RAKYAT 
Next post YOUTUBE JADI ‘GURU’, NUR SYAZWANI BERSINAR DI PENTAS DEBAT