
HAMPIR 2,000 TERIMA MANFAAT INISIATIF JUALAN MELAKA SAYANG RAKYAT
PENGKALAN BATU 27 September – Jualan Melaka Sayang Rakyat menjadi inisiatif terbaharu Kerajaan Negeri dalam membantu meringankan bebanan kos perbelanjaan rakyat.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, Kerajaan Negeri memperuntukkan hampir RM100,000 bagi melaksanakan inisitiaf itu bertujuan memberikan penjimatan kepada rakyat untuk membeli pelbagai barangan keperluan.
Katanya, bantuan itu disalurkan menerusi kupon bernilai RM50 yang diberikan kepada hampir 2,000 orang rakyat Melaka.
“Peruntukan berkenaan disalurkan dalam bentuk kupon sebagai subsidi pembelian lebih 40 barangan runcit dan makanan seperti ayam, udang, sotong, kerang dan daging.
“Kita juga tawaran 2,000 ekor ayam dijual pada harga RM5 seekor, selain pakej barangan runcit yang ditawarkan pada harga serendah RM40,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Jualan Melaka Sayang Rakyat Sempena Program Melaka Bila Larut Malam Tahun 2026 yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Pasar Besar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Bachang, di sini, semalam.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin; Pegawai Kewangan Negeri Datuk Md Azhan Samat @Limat, Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman serta kenamaan lain.
Rais berkata, inisiatif dijalankan bukan sahaja menguntungkan rakyat daripada aspek penjimatan dalam perbelanjaan malah membantu 25 peniaga di pasar berkenaan menikmati hasil jualan lebih baik.
Jualan berkenaan juga dilihat antara platform untuk membantu meningkatkan ekonomi peniaga di pasar besar, khususnya menerusi jualan pada waktu malam.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

