
KAPAL BERSEJARAH SEBELUM MERDEKA BAKAL JADI PAMERAN BAHARU MELAKA
BANDA HILIR 27 September – Sebuah kapal yang mempunyai nilai sejarah sejak sebelum negara mencapai kemerdekaan bakal dibawa ke Melaka sebagai bahan pameran baharu di bawah Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM).
Kurator PERZIM, Syahidah Abu Sah berkata, perancangan itu sedang diusahakan bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sebagai sebahagian usaha menambah koleksi dan pameran berkaitan sejarah maritim negara di Melaka.
Katanya, kapal berkenaan mempunyai nilai sejarah tersendiri kerana kewujudannya berkait dengan tempoh sebelum Malaysia mencapai kemerdekaan.
“Ada perancangan untuk membawa bahan pameran baharu dan boleh dikatakan mungkin akan ada bahan pameran baharu yang akan dibawa ke Melaka daripada pihak TLDM.
“Sebuah kapal yang mempunyai sejarah tersendiri berkaitan sebelum Malaysia mencapai kemerdekaan lagi.
“Sekiranya tiada halangan dan menjadi kenyataan, kapal itu akan dibawa ke Melaka,” katanya selepas Majlis Penyerahan Kerja Bagi Kerja-Kerja Mengecat Kapal EX-KD Sri Terengganu yang turut dihadiri Asisten Ketua Staf Sekretariat Markas Tentera Laut, Laksamana Pertama Ismail Othman, di Muzium TLDM, Banda Hilir, di sini, pada Jumaat.
Menurutnya, usaha membawa bahan pameran baharu itu selaras dengan komitmen PERZIM untuk terus memperkukuh koleksi sejarah negeri, khususnya berkaitan sejarah maritim dan pertahanan negara.
Katanya, penambahan koleksi berkenaan juga berpotensi memberikan pengalaman baharu kepada pengunjung untuk memahami sejarah perkembangan maritim dan pertahanan negara melalui bahan pameran berbentuk fizikal.
“Kerjasama dengan TLDM ini penting untuk memastikan sejarah maritim dan pertahanan negara terus dapat dipelihara serta diketengahkan kepada generasi akan datang,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

