FIESTA RAKAN MUDA MELAKA HIDUPKAN KREATIVITI, BAKAT ANAK MUDA

Masa Membaca:1 Minit, 1 Saat

AYER KEROH 27 September – Sebanyak 25 aktiviti disediakan pada Fiesta Rakan Muda Peringkat Negeri Melaka 2026 yang berlangsung selama dua hari berakhir hari ini di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Melaka, di sini.

Fiesta anjuran Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka itu menyasarkan kehadiran kira-kira 5,000 pengunjung, khususnya golongan belia yang berpeluang mencuba pelbagai aktiviti berteraskan 10 gaya hidup Rakan Muda.

Fiesta berkenaan mengetengahkan konsep ‘Belia, Idea, Aksi, Masa Depan’ sebagai platform untuk golongan muda berkarya, berinteraksi, mencuba pengalaman baharu serta menyerlahkan bakat dan potensi diri.

Antara pengisian disediakan termasuk Karnival Orang Kurang Upaya (OKU), Sesi Interaktif Kenegaraan, Hari Biasiswa 2026 dan pertandingan Tamiya, selain pelbagai aktiviti lain yang bersesuaian dengan minat, kreativiti serta gaya hidup generasi muda.

Penganjuran fiesta itu turut memberi peluang kepada golongan belia untuk meneroka bidang baharu, membina jaringan serta melibatkan diri dalam aktiviti yang mampu mencetuskan idea dan kreativiti.

Selain menjadi ruang interaksi dan rekreasi, program berkenaan diharap dapat menggalakkan penyertaan golongan muda dalam aktiviti positif serta memperkukuh peranan mereka sebagai rakan strategik dalam pembangunan negeri.

Terdahulu, gimik pelancaran Fiesta Rakan Muda Peringkat Negeri Melaka 2026 disempurnakan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka, Ahmad Syammeil Mohamad Karim.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

120
Kongsi :
Previous post MPHTJ ANJUR LEBIH 30 GOTONG-ROYONG SETIAP BULAN