MPHTJ ANJUR LEBIH 30 GOTONG-ROYONG SETIAP BULAN

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

JASIN 27 September – Lebih 30 program gotong-royong dianjurkan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) setiap bulan sebagai usaha berterusan membudayakan amalan kebersihan dalam kalangan masyarakat di kawasan pentadbirannya.

Yang Dipertua MPHTJ, Datuk Sapiah Haron berkata, program berkenaan dilaksanakan secara berkala dengan penglibatan ahli majlis, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), persatuan penduduk serta komuniti setempat.

Menurutnya, setiap ahli majlis turut memainkan peranan memastikan aktiviti gotong-royong dilaksanakan sekurang-kurangnya sekali seminggu di kawasan masing-masing.

“Memang kita aturkan gotong-royong setiap minggu dan ahli majlis akan memainkan peranan untuk memastikan dalam kawasan masing-masing, setiap minggu akan diadakan gotong-royong.

“Malah JPKK, persatuan penduduk dan pihak majlis sendiri turut mengatur aktiviti berkenaan dan dalam sebulan, di kawasan pentadbiran MPHTJ, lebih 30 gotong-royong kita adakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Program Hari Cuci Malaysia 2026 dan Gotong-Royong Mega Perangi Aedes Bil. 2/2026 Peringkat Negeri Melaka di Taman Rekreasi, Taman Maju, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Datuk Mohd Yusof Abu Bakar; Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan, Mahathir Mustafa; barisan Yang Dipertua pihak berkuasa tempatan (PBT) serta kenamaan lain.

Menurut Sapiah, pihaknya memilih Program Residensi Rakyat (PRR) Tehel sebagai lokasi penganjuran Program Hari Cuci Malaysia 2026 Peringkat Negeri Melaka bagi menggalakkan penglibatan komuniti setempat.

“Untuk program ini kita melibatkan semua warga pangsapuri dengan meminta mereka turun bersama-sama menjayakannya.

“Selain gotong-royong, kita turut selitkan beberapa program seperti sukan rakyat, aktiviti bersama kanak-kanak dan warga emas bagi mendekatkan komuniti dengan pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.

Beliau berkata, pendekatan berkenaan bukan sahaja memberi penekanan terhadap aspek kebersihan, malah menjadi platform untuk mengeratkan hubungan antara komuniti dengan PBT.

Katanya, penglibatan aktif masyarakat dalam aktiviti gotong-royong penting bagi memastikan usaha menjaga kebersihan persekitaran dapat dilaksanakan secara berterusan dan tidak hanya tertumpu ketika program tertentu.

“Pendekatan ini selaras dengan usaha MPHTJ untuk memperkukuh kerjasama antara PBT dan masyarakat dalam mewujudkan persekitaran yang bersih, selamat serta selesa,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

109
Kongsi :
Previous post KLINIK CANTIQ BAWA MESEJ KECANTIKAN SELAMAT